Jadikan Kaamatan platform gerakan keusahawanan: Ewon

Jadikan Kaamatan platform gerakan keusahawanan: Ewon

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mahu sambutan Pesta Kaamatan dijadikan sebagai platform penggerak keusahawanan.

Beliau berkata, ini kerana sambutan Pesta Kaamatan yang diadakan di pelusuk negeri ini termasuk di kawasan luar bandar dihadiri ramai pengunjung.

“Saya berharap Kaamatan ini bukan hanya sebagai platform untuk rakyat Malaysia di Sabah untuk meraikan kepelbagai budaya atau warisan kebudayaan, bahasa dan pakaian dan makanan tradisional tetapi juga platform menggerakkan keusahawanan.

“Sebab itu kita menjemput agensi-agensi di bawah kementerian untuk menyampaikan ceramah dan penerangan mengenai maklumat agensi masing-masing supaya ia sampai ke peringkat akar umbi.

“Mudah-mudahan dengan maklumat yang mereka perolehi daripada agensi-agensi KUSKOP, selepas Kaamatan ini dapat memberi ruang kepada mereka untuk menjadi usahawan atau menubuhkan koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Penggalakan Koperasi Peringkat Komuniti Zon Melangkap sempena Sambutan Pesta Kaamatan Kg.Melangkap Tiong, di Dewan Terbuka Eko Pelancongan Ikan Jinak, di sini, kelmarin.

Ewon berkata, melalui ceramah mengenai koperasi dan keusahawanan yang disampaikan oleh agensi-agensi di bawah kementeriannya, sambutan Kaamatan yang mereka hadiri tidak menjadi program sehari tetapi ada program lanjutan.

“Program dua dalam satu ini memberikan lebih banyak manfaat kepada para pengunjung, kerana selain dapat menikmati persembahan-persembahan menarik sepanjang sambutan Kaamatan, mereka juga memperolehi maklumat penting mengenai keusahawanan dan koperasi,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|