Isu roboh kediaman masyarakat Bajau Laut di Semporna, Kerajaan timbang penempatan baharu

Isu roboh kediaman masyarakat Bajau Laut di Semporna, Kerajaan timbang penempatan baharu

KOTA KINABALU: Penempatan baharu akan dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Sabah dalam menempatkan masyarakat Bajau laut yang hilang tempat tinggal susulan kediaman mereka dipercayai didirikan secara haram diroboh di kawasan Taman Marin Tun Sakaran, Semporna baru-baru ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya dalam masa yang sama meminta isu tidak dipolitikkan.

Jelas beliau, kerajaan sedang memikirkan apa yang terbaik kepada penghuni terlibat memandangkan perkara ini merupakan soal keselamatan dan kedaulatan negara.

“Sekarang kita sudah fikir sesuatu yang baik utk mereka, tetapi apa yang dilakukan itu adalah kerana ini melibatkan soal keselamatan, kedaulatan negara kita.

“Jadi jangan jadikan isu ini isu politik, kita tahu macam mana kerajaan Negeri menyelesaikan perkara ini dan membantu mereka yang terlibat, “katanya.

Hajiji berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu sekumpulan etnik Bajau laut di Semporna yang menghadapi situasi kediaman mereka diroboh pihak penguatkuasa berikutan ia telah didirikan di kawasan milik Taman Marin Tun Sakaran, baru-baru ini.

Isu itu mendapat reaksi pelbagai pihak termasuklah Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan aktivis kemanusiaan yang meminta perkara tersebut diambil perhatian sewajarnya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|