LABUAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan isu Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) di Sabah akan dibincangkan semula bagi merungkai permasalahan yang berbangkit.
Jelas beliau, ini termasuklah hal-hal berdasarkan bantahan yang dikemukakan oleh pemimpin-pemimpin Sabah sebelum ini yang menentang penubuhan JKDM di negeri ini.
Anwar berkata, bagaimanapun menyifatkan JKDM hanya membabitkan satu kementerian iaitu Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) dan bukannya melibatkan kerajaan persekutuan secara menyeluruh.
Tambahnya, beliau pada masa sama menghormati pandangan yang dilontarkan oleh pemimpin-pemimpin Sabah termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung isu berkenaan.
“Saya sudah jawap tadi, kita akan bincang semula sebab itu melibatkan satu kementerian, bukan kerajaan Persekutuan.
“Jadi kita hormati pandangan kawan-kawan di Sabah termasuk disuarakan oleh Ketua Menteri…saya akan bincang dengan baik,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika ditemui media di Wilayah Persekutuan Labuan pada Jumaat.
Terdahulu, isu pelaksanaan JKDM di Sabah mencetus reaksi pelbagai pihak susulan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung pewujudan jawatankuasa tersebut.
Antara pihak yang membantah keras adalah pemimpin-pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) dan UPKO dengan menyifatkan penugasan JKDM adalah bertindih dengan Ordinan Pentadbiran Luar Bandar.
Pihak BBC GRS-PH Sabah turut menyuarakan pendirian tegas bahawa tidak bersetuju dengan penubuhan itu dan meminta Perdana Menteri campur tangan untuk menarik semula pelantikan.
Deasoka