Isu air Pulau Banggi, kita akan bina LRA: Hajiji

Isu air Pulau Banggi, kita akan bina LRA: Hajiji

KUDAT: Kerajaan Negeri komited untuk menyelesaikan masalah air yang dihadapi penduduk Pulau Banggi menerusi pembinaan sebuah loji rawatan air (LRA) baharu khusus untuk pulau itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau akan mendapatkan laporan daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengenai jumlah kos loji berkenaan bagi menentukan peruntukan yang diperlukan.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, termasuk bekalan air dan keperluan asas lain yang penting untuk rakyat.

“Saya mahu dapatkan laporan daripada JANS berapa kos untuk membuat loji di Pulau Banggi, insyaAllah saya akan bagi peruntukan”.

“Ini amat penting bagi memenuhi keperluan asas rakyat kita seperti air dan lain-lain kemudahan asas yang mesti diutamakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Banggi dan Tanjung Kapor di Dewan Tun Mustapha di sini pada Ahad.

Yang turut hadir ialah Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Seri Rudy Awah; Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda; ADUN Banggi, Mohamad Mohamarin dan ADUN Tanjung Kapor, Ben Chong.

Hajiji berkata demikian sebagai maklum balas terhadap permintaan Mohamad mengenai perlunya sebuah LRA khas untuk penduduk Pulau Banggi bagi mengatasi masalah air yang dihadapi penduduk selama ini. Selain masalah di Pulau Banggi, Hajiji berkata beliau turut memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi penduduk di Tanjung Kapor dan kawasan lain di seluruh negeri.

Sementara itu, Hajiji menyifatkan Kudat sebagai daerah yang istimewa bukan saja kepada diri beliau, malah kepada sejarah Sabah sejajar kedudukannya sebagai daerah kelahiran bapa kemerdekaan Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun.

“Hari ini saya berada di Kudat, satu daerah yang istimewa dan mempunyai sejarah tersendiri kerana di Kudat inilah lahirnya seorang pemimpin utama Sabah, Tun Datu Mustapha”.

“Saya juga berharap majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri seumpama ini dapat kita guna dengan sebaiknya untuk merapatkan silaturahim di antara sesama kita, bukan saja dengan orang Islam, tapi juga dengan yang bukan Islam,” katanya.

Katanya, sudah menjadi budaya rakyat Sabah sama-sama memeriahkan sambutan perayaan pelbagai kaum dan agama sekali gus menjadikan negeri ini kuat dari segi toleransi kaum dan agama.

Ketua Menteri menjelaskan Sabah tidak berdepan sebarang isu dikaitkan dengan perbezaan fahaman politik, kaum atau agama dan ia sesuatu yang harus dibanggakan oleh rakyat negeri ini.

Dalam pada itu, Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat tidak lupa mengingatkan ahli parti dan rakyat di Kudat keseluruhannya untuk memastikan parti itu dan rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus kukuh dan dapat membela nasib rakyat kawasan ini.

Katanya, segala tuduhan yang dilemparkan pihak lain, khususnya pembangkang terhadap kerajaan pimpinan GRS ketika ini hanyalah fitnah bagi menggugat kestabilan Kerajaan Negeri yang tidak perlu dilayan.

Sebaliknya, beliau berkata pemimpin di semua peringkat perlu sama-sama menumpukan tugas untuk membela rakyat negeri ini sejajar kehendak rakyat.

Hajiji juga menyerahkan kunci Rumah Mesra SMJ kepada penerima yang layak, bantuan Kerajaan Negeri sebanyak RM540,000 kepada 27 ketua isi rumah (KIR) mangsa kebakaran Kampung Tanjong Kapor Hujung dan sumbangan kerajaan sebanyak RM300,000 kepada Gereja Basel Malaysia untuk pembinaan muzium gereja itu di Kudat.

Sementara itu, Hajiji turut merasmikan GL Hotel 2 di Kudat yang dimiliki oleh usahawan tempatan, Datuk Gurahman Lolong.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|