KOTA KINABALU: Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram) tidak berhak mempersoalkan pelantikan bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Musa Aman sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sabah Ke 11.
Selain itu, Haram juga diingatkan agar tidak sibuk mencampur urusan di negeri Sabah, terutama sekali menyokong gerakan mahasiswa yang merancang mengadakan perhimpunan pada 31 Disember ini.
Mantan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (Rela) Negeri Sabah, Brig.Jen (Kehormat) Rela, Dato’ Jerry Ambuting Mohd Said berkata, Haram yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia tidak perlu sibuk mencampuri urusan di negeri Sabah.
“Apa hak Haram hendak persoalan pelantikan Musa sebagai TYT Sabah? Semua ini dibuat berdasarkan Perlembagaan Negeri.
“Haram sepatutnya membaca dan fahami Perlembagaan Sabah sebelum mengeluarkan kenyataan mempersoalkan pelantikan Musa yang atas perkenan Yang di-Pertuan Agong”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Haram yang mengecam apa yang didakwa sebagai pembebasan “jerung” besar daripada kes rasuah pada masa ini, di bawah pentadbiran pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung Haram Adam Nor antara lain turut membangkitkan isu pelantikan Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah minggu lalu.
Beliau turut mempersoalkan kewarasan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Perdana Menteri ketika menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan Musa.
Jerry berkata, Haram tidak mempunyai locus standi mempersoalkan pelantikan Musa kerana Perkara 1(1) Perlembagaan Sabah menyatakan Yang Dipertua Negeri Sabah dilantik mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong, selepas mendapat nasihat daripada Ketua Menteri.
“Siapalah Haram hendak jadi ‘pihak yang menyibuk’ dalam urusan pelantikan TYT Sabah dan Haram juga tidak berhak hendak mempersoalkan dan mempertikaikan keputusan Hajiji dalam isu ini”, tegasnya.
Jerry berkata, Musa sudah dibebaskan daripada sebarang tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram pada Jun 2020, ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain itu beliau juga banyak berjasa kepada Sabah.
Menurutnya, Haram yang memberi sokongan penuh kepada gerakan mahasiswa Sabah untuk berhimpun bagi menggempur rasuah di Sabah, sepatutnya turut membuat perhimpunan yang sama di Kuala Lumpur.
Jerry turut mempersoalan apa sumbangan Haram dan gerakan mahasiswa Sabah kepada negara amnya dan negeri Sabah khususnya.
“Gerakan mahasiswa ini selain sibuk membuat perhimpunan jalanan yang mungkin didalangi oleh pihak yang bermotifkan politik terutama parti-parti pembangkang yang bertujuan menjejaskan ketenteraman awam”, tegasnya.
Deasoka