PAPAR: Kerajaan Negeri terus melakukan pendekatan bersifat agresif bagi menoktahkan isu miskin tegar di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, kerajaan melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Ketua Isi Rumah (KIR) atau ahli isi rumah golongan miskin tegar ditawarkan pekerjaan yang seadanya,melibatkan beberapa agensi kerajaan dan juga syarikat-syarikat swasta.
Beliau berkata, langkah positif ini yang disifatkannya sebagai suatu proses penghijrahan, berjaya mengurangkan kadar miskin tegar di Sabah daripada 22,510 KIR miskin tegar kepada hanya 5,379 KIR miskin tegar.
“Kerajaan Negeri bertekad untuk mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan. Pendekatan bersifat agresif ini akan terus kita lakukan bagi menoktahkan isu miskin tegar di Sabah, insya Allah”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri 1446H/2024M di Dewan Masyarakat Papar pada Ahad. Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin merasmikan majlis sambutan itu.
Hajiji berkata, ketibaan tahun baharu Hijrah yang diiringi dengan sambutan Maal Hijrah diharap mampu menyemarakkan lagi semangat juang dan menggilap cita-cita dalam jiwa semua umat Islam.
“Bukan sahaja dalam mengejar impian dan harapan, tetapi juga dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan selaku anggota masyarakat, terutamanya sebagai anggota dalam perkhidmatan awam yang berperanan sebagai penggerak dan pelaksana program-program pembangunan negeri dan negara yang tercinta”, katanya.
Beliau berkata, kisah-kisah dalam peristiwa Hijrah Rasulullah wajar dijadikan sebagai iktibar, sumber inspirasi, dihayati dan contohi bersama oleh umat Islam dalam menjalani kehidupan.
Deasoka