KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kehadiran dan komitmen para pemimpin Kerajaan Perpaduan dalam program-program di Sabah memberikan mesej mereka focus kepada agenda Pembangunan negara dan rakyat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian dan Ahli Parlimen Penampang berkata, komitmen tiga pemimpin utama Kerajaan perpaduan dan Kerajaan negeri ke kawasan yang diwakilinya dalam tempoh yang singkat adalah bukti kerajaan lebih mengutamakan agenda Pembangunan daripada hal-hal lain.
“Saya telah mendapatkan komitmen dan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor dalam program berasingan di Penampang dan hari ini ke Kadamaian.
“Mesej yang ingin saya sampaikan melalui kehadiran para pemimpin utama negara dan negeri ke kawasan yang saya wakili ialah kita memberi fokus kepada agenda Pembangunan negara dan Pembangunan rakyat.
“Inilah yang sepatutnya menjadi fokus dan agenda kita semua termasuk rakan-rakan pemimpin dalam Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah dan tidak ada agenda-agendai lain yang ‘move’ sini, ‘move’ sana.
“Sepatutnya kita mahu terus melaksanakan pembangunan yang diinginkan oleh rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Pelan Pembangunan Kadamaian sempena Rumah Terbuka Krismas Kadamaian dan Tahun Baharu 2024, di Dewan Kadamaian Square Taginambur, di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Tun Said Keruak, para pemimpin Kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Ewon turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Menteri atas kesudian menghadiri program kementeriannya di Penampang dan Kadamaian.
Mengenai Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2035, Ewon berkata, kajian selama enam bulan telah dilaksanakan oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) pada tahun 2018 meliputi semua kampung di Kadamaian.
“Selagi saya menjadi Adun Kadamaian, saya akan menjadikan Pelan Pembangunan ini sebagai dokumen atau input kepada penyediaan rancangan-rancangan pembangunan kerajaan, Rancangan Malaysia, Rancangan Sabah melalui kementerian dan jabatan-jabatan dan agensi.
“Seperti mana yang kita lihat hari ini TPM telah diluncurkan tiga projek jalan luar bandar di bawah pembiayaanKementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan memberikan sokongan terhadap permintaan saya supaya jalan-jalan utama yang lain di Kadamaian turut dinaiktaraf,” katanya.
Ewon berkata, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Ketua Menteri untuk meminta Pelan Pembangunan Kadamaian dijadikan agenda Pembangunan Kerajaan Sabah dan dimasukkan dalam senarai keutamaan Kerajaan negeri untuk dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Jabatan Perdana Menteri seterusnya dimasukkan dalam Belanjawan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pada Rolling Plan seterusnya.
Beliau yakin, Pelan Pembangunan ini akan membawa Kadamaian ke satu tahap yang lebih maju dalam tempoh sehingga sekurang-kurangnya 2030.
Deasoka