ESSCOM koordinasi OP Bersepadu RCP Sapi Nangoh

ESSCOM koordinasi OP Bersepadu RCP Sapi Nangoh

BELURAN: Dalam usaha untuk menjadikanZon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) kekal selamat, sejahtera dan tenteram pihak Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pelbagai jabatan, agensi Persekutuan dan Negeri telah mengkoordinasi Operasi Bersepadu Pos Pemeriksanaan Darat (RCP) Sapi Nangoh.

Menurut Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos,sewaktu operasi tersebut, pihak berkuasa yang terbabit telah berhasil menahan seramai 29 individu atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang bermula pada 9 Mei dan berakhir pada awal pagi 11 Mei lalu.

“Operasi ini bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai dan penyusupan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta penguatkuasaan terhadap kesalahan-kesalahan lain di laluan utama yang menghubungkan pantai Barat dan pantai Timur Sabah termasuk laluan-laluan tikus yang dikenal pasti digunakan oleh penjenayah dalam kawasan daratan Daerah Beluran,” ujarnya.

Victor berkata sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 512 buah pelbagai jenis kenderaan darat telah diperiksa melibatkan pemeriksaan seramai 1,076 orang individu.

Daripada jumlah 11 orang PATI warganegara Filipina dan Indonesia ditangkap dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/ 63 untuk siasatan lanjut.

Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan seramaiindividu warganegara Filipina termasukkenderaan pacuan empat roda (4WD) dirampas kerana disyaki digunakan untuk membawa minyak diesel sebanyak 600 liter tanpa permit di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, seramai 7 orang individu dewasa ditahan kerana didapati positif dadah jenis Methamphetamine selain sebanyak 0.41 gram dadah tersebut dirampas daripada dua orang individu di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta seramai 7 orang turut ditahan kerana disyaki membawa sejumlah 1,135 karton rokok pelbagai jenama tanpa cukai di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut oleh pihak Ibu Pejabat PolisDaerah (IPD) Beluran.

Di samping itu,Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Beluran serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan 96 keping saman masing-masing atas pelbagai kesalahan lalu lintas di bawah POL 257 dan Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987.

“Selaras dengan kejayaan Operasi Bersepadu RCP Sapi Nangoh ini, saya bagi pihak ESSCOM ingin menzahirkan penghargaan kepada petugas seramai 103 orang pegawai dan anggota yang menjayakan operasi ini serta semua Jabatan dan agensi yang terlibat, seperti PDRM khususnya IPD, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, BSPT dan Batalion 20 Pasukan Gerakan Am, JIM, KPDN, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perhutanan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, JPJ Daerah Beluran dan Majlis Daerah Beluran,” katanya.

Menurut beliau kejayaan operasi ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan melalui Operasi SANGGAH ESSCOM dalam memperkasakan operasi-operasi sedia ada di bawah PDRM, ATM dan Agensi Penguakuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi-agensi penguatkuasaan yang lain di ESS Zone selaras dengan hasrat ESSCOM iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Operasi bagi memastikan ancaman pencerobohan anasir asing dapat dikekang serta pemeliharaan keselamatan awam di pantai Timur Sabah kekal selamat dan terkawal.

ESSCOM juga akan terus mempergiat operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah di ESS Zone bagi mengekang mana-mana elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah.

Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di 089-863 181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|