Dua penuntut IPT berkait serangan Balai Polis Ulu Tiram bukan kendalian KPT

Dua penuntut IPT berkait serangan Balai Polis Ulu Tiram bukan kendalian KPT

TAWAU: Dua penuntut institut pengajian tinggi (IPT) yang ditahan susulan serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada Jumaat bukan berada di bawah kendalian Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Perkara tersebut disahkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud yang menjelaskan, dua penuntut berkenaan masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 21 dan 22 tahun itu bukan berada di bawah bidang kuasa KPT.

Katanya, semakan maklumat dua individu terbabit mendapati penuntut wanita itu bukan di bawah KPT, manakala pelajar lelaki pula sudah lama berhenti kursus pengajian sejak tahun 2021.

“Suka juga saya menasihatkan semua penuntut KPT dan anak-anak muda supaya tidak terlibat dengan perkara tidak diingini dan kena menghormati undang-undang negara.

“Ibu bapa juga perlu mengawal anak-anak aupaya tidak terpengaruh dengan pengaruh luar yang bukan menjadi adat budaya negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Jom Masuk U 2024 Zon Sabah di Dewan Kompleks Sukan Tawau di sini, hari ini.

Menurutnya, semua pihak juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan perlu menyerahkan kes berkenaan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Dalam masa sama beliau menzahirkan ucapan takziah kepada dua anggota keluarga polis yang menjadi mangsa dalam kejadian serangan itu dan berharap ia menjadi pengajaran kepada semua.

Mengulas mengenai majlis itu beliau berkata, program berkenaan penting sebagai usaha memberi pengetahuan kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat kursus bersesuaian untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|