KOTA KINABALU: Sebanyak 34 kompaun telah dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kepada premis makanan yang gagal mematuhi syarat lesen dan kriteria dalam pemeriksaan kebersihan premis makanan sepanjang bulan Mei lalu.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon, kesemua kompuan berkenaan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya, berikutan kesalahan-kesalahan yang berasingan.
Jelasnya, antara kesalahan tersebut adalah pengusaha premis gagal memasang perangkap lemak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, pengendali makanan tidak memiliki sijil kesihatan yang sah, pengusaha premis gagal menyelenggara perangkap lemak dengan baik, pengusaha premis menjalankan aktiviti memasak dan penyediaan makanan di kawasan kaki lima, pengendali makanan gagal memakai kad pengendali makanan semasa bekerja, menjalankan perniagaan dengan lesen tamat tempoh dan menyalurkan air sisa dari tempat memasak di dapur ke parit awam.
“Selain itu, 49 Notis Arahan Penambahbaikan turut dikeluarkan kepada pengusaha premis makanan untuk memperbaiki dan menambah baik kebersihan dan keteraturan premis mereka serta cara-cara pengendalian dan penyimpanan makanan yang betul dan pematuhan kepada syarat-syarat lesen.
“Dalam siri pemeriksaan ini, sebanyak 220 buah premis makanan telah diperiksa sepanjang bulan Mei lalu melibatkan 53 lokasi di seluruh kawasan Bandaraya Kota Kinabalu. Penarafan bintang tandas premis makanan juga telah dijalankan, yang mana sebanyak 59 buah premis telah mendapat 3 Bintang ke atas, 70 buah premis telah mendapat 2 Bintang ke bawah manakala 38 buah premis lagi tidak mempunyai tandas untuk dinilai,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, Robert berkata, pengusaha premis makanan dinasihatkan agar membuat penambahbaikan untuk meningkatkan tahap kebersihan dan fasiliti tandas premis mereka.
“Pemeriksaan ini turut mendapati sejumlah 66 buah premis makanan telah menjalankan kawalan makhluk perosak (pest control) manakala 101 buah premis makanan lagi belum menjalankan kawalan makhluk perosak di premis mereka.
“Pengusaha yang belum menjalankan kawalan makhluk perosak di premis mereka dinasihatkan untuk menjalankan kawalan makhluk perosak secara berkala,” katanya.
Deasoka