Wujudkan Pusat Dialisis di Tenom – Riduan Rubin

Wujudkan Pusat Dialisis di Tenom – Riduan Rubin

Tenom: Cadangan mewujudkan pusat dialisis di setiap daerah terutama di daerah yang mempunyai ramai pesakit buah pinggang disifatkan sebagai langkah tepat dalam usaha membantu rakyat yang memerlukan rawatan.

Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin, berkata selaras dengan cadangan yang disuarakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib itu baru-baru ini, beliau turut berharap pusat dialisis dapat diwujudkan di Tenom.

Katanya, ramai pesakit buah pinggang di daerah ini mengadu berhubung kesukaran mendapatkan rawatan dialisis berikutan mesin sedia ada yang terhad di Hospital Tenom.

“Selaku Ahli Parlimen Tenom, saya menyokong penuh hasrat dan cadangan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri, YB Datuk James Ratib melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) untuk mewujudkan Pusat Dialisis di daerah-daerah yang mempunyai bilangan pesakit buah pinggang yang tinggi, termasuk di Tenom.

“Saya selalu menerima aduan dan keluhan daripada warga Tenom yang sukar mendapatkan rawatan dialisis di daerah Tenom, yang berpunca daripada mesin rawatan sedia ada di Hospital Daerah Tenom tidak dapat menampung permintaan yang begitu ramai di daerah ini.

“Memandangkan daerah Tenom dan daerah kecil Kemabong mempunyai ramai pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis (tiga hari rawatan dalam seminggu), namun akibat kekurangan mesin dialisis di hospital kerajaan menyebabkan ramai pesakit tidak dapat menerima rawatan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kekangan itu menyebabkan kebanyakan pesakit buah pinggang di daerah ini terpaksa ke Hospital Keningau atau klinik swasta di Keningau untuk mendapatkan rawatan dialisis.

Namun, katanya dengan kos rawatan yang sangat tinggi sehingga pesakit perlu membayar sebanyak RM200 untuk satu sesi rawatan, ia amat membebankan pesakit buah pinggang dan keluarga mereka.

“Malah yang lebih teruk lagi ialah apabila pesakit buah pinggang tidak meneruskan rawatan akibat kekangan dan masalah kewangan sehingga mereka menanggung kesakitan dan akhirnya meninggal dunia.

“Saya sedia memberikan kerjasama kepada jabatan dan agensi kerajaan berkaitan dan membantu sedaya yang mungkin agar sebuah Pusat Dialisis dapat segera diwujudkan di daerah Tenom,” katanya.

Riduan berkata dalam pertemuannya dengan James pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Stanley Chong, baru-baru ini, James bersetuju secara dasarnya agar Tenom diberikan keutamaan untuk mewujudkan Pusat Dialisis pertama di bawah kementerian beliau.

Riduan berharap usaha ke arah mewujudkan Pusat Dialisis oleh Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri di Tenom dapat disegerakan demi rakyat dan pesakit yang amat memerlukan rawatan hemodialisis.

“Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada YB Datuk James Ratib yang peka dan tuntas menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya di daerah Tenom,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|