Wisma Putra, MINDEF perlu tangani isu pencerobohan tentera China – Ruslan Muharam

Wisma Putra, MINDEF perlu tangani isu pencerobohan tentera China – Ruslan Muharam

Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutuan khususnya Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) perlu mengambil langkah tegas susulan siri pencerobohan tentera China di perairan Malaysia di Laut China Selatan ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam, berkata pencerobohan yang berlaku sejak sekian lama dan kini semakin kerap menimbulkan kegusaran rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak.

Katanya, terbaru, pihak US Indo-Pacific Command mengeluarkan imej pintasan pesawat tempur tercanggih J-11 milik Tentera Laut China di ruang udara antarabangsa di laut China Selatan, baru-baru ini.

Menurutnya, imej itu dirakam pada 21 Disember 2022, baru-baru ini namun tiada sebarang reaksi daripada Wisma Putra setelah 72 jam berlalu sejak laporan rasmi media antarabangsa Agensi Reuters dikeluarkan mengenai insiden itu.

“Kita ingin tahu sejauh mana situasi ini mengancam kedaulatan negara khususnya kedudukan Sabah dan Sarawak serta apakah tindakan susulan Wisma Putra untuk menangani isu yang sudah berlaku sekian lama ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ruslan turut menggesa Wisma Putra dan MINDEF memberi penjelasan dan kenyataan segera berkaitan isu berkenaan kerana ia turut melibatkan keselamatan rakyat di Sabah dan Sarawak.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, pihaknya sebelum ini membangkitkan isu sama kepada kerajaan dan amat berharap kerajaan persekutuan kali ini lebih peka serta tegas dalam isu terbabit.

“Segala kepentingan negara di perairan kita di Laut China Selatan khususnya melibatkan industri minyak dan gas serta perikanan perlu terjamin daripada sebarang ancaman luar khususnya China.

“Dikhuatiri, kita bakal kehilangan segala aset kita di rantau Laut China Selatan jika Malaysia terus-terusan berdiam diri atau berlembut dalam isu pencerobohan tentera China ini,” katanya.

Sehubungan itu, Ruslan menyeru kerajaan menempatkan aset pertahanan terbaik di Sabah dan Sarawak demi keselamatan rakyat di kedua-dua wilayah yang menjadi benteng hadapan jika berlaku sebarang konflik berkaitan isu terbabit pada masa depan.

Katanya, pencerobohan sejak 2013 pihak ketenteraan dan maritim China sebagaimana dilaporkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) termasuk laporan media lainnya, membuktikan kedaulatan Malaysia tidak dihormati.

Menurutnya, situasi sama turut dialami negara ASEAN lain hingga mereka mengambil langkah memperkukuhkan aSet ketenteraan di perairan negara masing-masing.

“Kita perlu lakukan tindakan sama kerana ia penting bagi memastikan Malaysia tidak dianggap lemah pada persepsi negara lain sekali gus mampu bertindak menjaga hak dan kedaulatan negara di Laut China Selatan.

“Ini adalah pendapat peribadi saya kerana kepentingan serta keselamatan rakyat dan negara adalah keutamaan saya dan sebagai wakil rakyat, menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan aspek ini terpelihara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|