Daftarkan ahli keluarga OKU, mudahkan penyaluran bantuan

Daftarkan ahli keluarga OKU, mudahkan penyaluran bantuan

Kota Kinabalu: Ibu bapa dan keluarga diseru untuk mendaftarkan ahli keluarga Orang Kurang Upaya (OKU), atau mempunyai cacat penglihatan, ke Jabatan Kebajikan Am Negeri (JPKA) Sabah bagi memastikan mereka boleh dibantu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, setakat 29 Disember lalu, seramai 43,214 OKU termasuk 3,597 OKU penglihatan telah mendaftar dengan JPKA Sabah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Braille Sedunia Peringkat Kebangsaan di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru.

Tegas beliau, Kerajaan Negeri komited dalam membantu golongan OKU dan OKU penglihatan di negeri ini, untuk memastikan mereka tidak terpinggir daripada segala aspek.

“Amat penting untuk mereka didaftarkan dengan Pejabat Kebajikan Am Negeri supaya mereka dapat dibantu khususnya dalam pemberian nilai tambah berupa kemahiran. Ini juga bagi membolehkan mereka hidup berdikari dan menyumbang kepada diri sendiri dan keluarga.

“Pendaftaran itu juga bagi memudahkan kerajaan untuk merancang penyediaan kemudahan dan perkhidmatan yang lebih baik dan bersesuaian dengan keperluan golongan ini.

“Terdapat banyak keistimewaan kepada golongan OKU yang telah berdaftar, termasuklah memudahkan urusan saluran bantuan dan faedah kepada mereka,” katanya dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Braille Sedunia Peringkat Kebangsaan di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru, hari ini.

Ucapan beliau telah disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Dalam pada itu, katanya, Hari Braille Sedunia disambut untuk memberi kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat betapa pentingnya kewujudan Braille sebagai medium komunikasi dalam pengiktirafan hak asasi manusia kepada OKU Penglihatan.

Menurut beliau, penggunaan Braille berjaya membantu mereka keluar daripada kepompong tidak boleh membaca.

Tambahnya, hal ini merupakan elemen yang penting dalam meningkatkan kualiti hidup dan memperkasakan kerjaya mereka.

“Atas komitmen itu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan hak yang sama rata untuk golongan ini, antaranya ialah penajaan kepada OKU Penglihatan untuk menyertai program keusahawanan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Urut Terapi Tahap 3 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Amal Pembangunan Usahawan OKU Penglihatan (PERKUM) Malaysia.

“Program ini bertujuan untuk membantu golongan ini menjadi usahawan yang berjaya dan berdikari.

“Pertubuhan bagi Orang-Orang Buta Sabah turut memainkan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan termasuk maklumat berkaitan peluang pekerjaan kepada golongan OKU Penglihatan.

“Pertubuhan bagi Orang-Orang Buta Sabah kini mempunyai tiga cawangan yang sedang beroperasi di Sandakan, Keningau dan Tawau,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa bangga kerana Perpustakaan Negeri Sabah merupakan perpustakaan pertama di negara ini yang menyediakan perkhidmatan dan kemudahan untuk golongan OKU Penglihatan.

“Perpustakaan Negeri Sabah juga sentiasa komited dalam membantu dan memberi sokongan kepada golongan OKU Penglihatan.

“Ini termasuklah menganjurkan Bengkel Tactile untuk menghasilkan buku tactile khas atau bengkel menyediakan buku cerita dalam bahasa braille bagi golongan OKU Penglihatan, termasuk menyediakan lebih banyak koleksi buku berbentuk text braille,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|