Operasi khas banteras samseng jalanan, mat rempit

Operasi khas banteras samseng jalanan, mat rempit

Kota Kinabalu: Polis Sabah akan mengadakan operasi khas secara berterusan di tiga kawasan di daerah ini yang dipercayai ‘sarang’ samseng jalanan atau mat rempit sekali membanteras sepenuhnya gejala sosial itu daripada terus berleluasa.

Tiga lokasi berkenaan iaitu di sepanjang Jalan Kepayan Aeropod; Jalan Tun Fuad Stephen depan hotel Marriot; Jalan Tun Fuad Stephen depan Anjung Selera, Kota Kinabalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tindakan ini susulan rungutan masyarakat di tiga kawasan berkenaan yang sering terganggu dengan aktiviti samseng jalanan.

Katanya, sebenarnya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sabah dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sudah mengadakan beberapa siri operasi di tiga kawasan itu sejak pertengahan tahun lalu.

“Bagaimana aktiviti ini (samseng jalanan) masih berterusan terutama apabila pegawai dan anggota trafik terbabit dalam penugasan-penugasan lain yang menyebabkan ketidakhadiran mereka di kawasan berkenaan.

“Susulan itu, gejala sosial mat rempit berkembang semula. Jadi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah akan memastikan bahawa operasi secara berterusan akan dibuat di tiga kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tamat Majlis Serah Terima Tugas Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, aktiviti samseng jalanan ini dikatakan berlaku terutama pada hujung minggu pada waktu tengah malam sehingga menimbulkan bahaya kepada pengguna-pengguna jalan raya lain.

“Jadi PDRM Kontinjen Sabah akan pastikan bahawa aktiviti (samseng jalanan) ini akan dibanteras secara sepenuhnya supaya keselamatan khususnya pengguna jalan raya di kawasan berkenaan sentiasa berada dalam tahap yang tertinggi.

“Begitu juga dengan pengunjung-pengunjung di gerai-gerai di Anjung Selera yang terganggu dengan bunyi bising,” katanya.

Sementara itu, Jauteh meminta masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan supaya gejala sosial berkenaan dapat sama-sama dibanteras.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|