Rosdi ketuai JSPT Sabah

Rosdi ketuai JSPT Sabah

Kota Kinabalu: Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Superintendan Rosdi Mat Jusoh, dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah, berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan itu menyaksikan pertukaran jawatan bersama Ketua JSPT sebelum ini, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Nin Mohd Isa yang bertugas sebagai Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Perak bermula pada 28 Disember 2022 lalu.

Zamzuri (kiri) menyerahkan dokumen serah tugas kepada Rosdi sambil disaksikan Jauteh pada Majlis Serah Terima Tugas KJSPT Sabah.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun di Auditorium, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pagi ini.

Jauteh berkata, beliau yakin dan percaya Mohd Zamzuri akan berjaya mengorak langkah ke arah kecemerlangan perkhidmatan dan seterusnya mencapai visi dan misi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Mohd Zamzuri telah menjawat jawatan KJSPT Sabah lebih lima tahun. Secara peribadi, saya amat kagum dengan prinsip, kesungguhan dan komitmen yang dicurahkan dalam menjalankan tugas serta tanggungjawab sepanjang memegang jawatan KJSPT Sabah yang lalu.

“Seluruh warga PDRM Sabah merakamkan ucapan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan beliau dalam menjalankan amanah yang diberikan sepanjang berada di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, ucapan tahniah juga kepada Rosdi atas kenaikan pangkat yang kini mengambil tampuk pimpinan sebagai KJSPT Sabah.

“Berdasarkan rekod perkhidmatan beliau menunjukkan hampir keseluruhan masa perkhidmatannya iaitu 23 tahun berada dalam Jabatan Siasatan Jenayah.

“Walaupun berbeza dari segi penguatkuasaan dan siasatan namun saya yakin ia akan bakal memberi satu impak yang besar dalam meneruskan legasi dan memperkasakan lagi JSPT Sabah ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|