‘UMS Leading Towards Innovative Societies’ moto UMS bagi 2023

‘UMS Leading Towards Innovative Societies’ moto UMS bagi 2023

Kota Kinabalu: Keintelektualan ahli akademik yang pelbagai perlu ditransformasi bagi menghasilkan ramuan yang dapat menyelesaikan isu-isu dalam masyarakat.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, universiti tidak boleh lagi berpegang kepada ‘status quo’ sebagai kilang menghasilkan graduan berkualiti semata-mata.

Kasim (kanan) bersama ‘tim’ media Pusat Komunikasi Korporat UMS.

“Pada era teknologi dan digitalisasi ini, peranan universiti sudahpun meluas mencakupi segenap spektrum kehidupan masyarakat.

“Inovasi dan kreativiti yang menghasilkan produk dan perkhidmatan bagi meningkatkan kemaslahatan hidup masyarakat adalah sesuatu yang sangat diharapkan,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga UMS secara dalam talian di sini, pada Ahad.

Katanya, bagi merealisasikan hasrat itu, beliau mengumumkan slogan baharu ‘UMS Leading Towards Innovative Societies’ sepanjang tahun 2023.

“Sematkan dalam minda kita semua akan kesedaran bahawa kita adalah institusi ilmu yang lahir dan bertapak di Sabah. Universiti awam yang terhasil dari cetusan nurani rakyat di negeri Sabah.

“Tanamkan dalam jiwa kita semua bahawa kita adalah aktor penting sesuai dengan kepakaran yang kita ada dalam sama-sama bertanggungjawab membangun kehidupan masyarakat,” katanya.

Kasim turut mengajak seluruh warga UMS bersama-sama dalam merealisasikan misi berkenaan.

“Marilah kita berganding bahu bersama menggenggam amanah, mendukung tanggungjawab dan melunas bakti sebagai universiti yang sentiasa mendekati masyarakat kita.

“Sama ada sebagai ahli akademik, kakitangan pentadbiran mahupun pelajar, kita mampu menjadikan keberadaan UMS di Sabah khasnya menjadi lebih bermakna.

“Akhirnya, UMS yang anggun berdiri di lokasi selesa dan strategik dalam bandar raya Kota Kinabalu ini dirasai sama akan rasional kewujudannya di segenap pelusuk tanah air khususnya dalam negeri Sabah yang luas ini.

“Realisasikan dengan produktiviti dan dedikasi menjayakan bersama kesungguhan kita ini meletakkan UMS peneraju ke arah masyarakat berinovatif,” katanya.

Kasim berkata kejayaan kepimpinan universiti sebelum ini juga perlu dipertahan dan dipertingkatkan.

Jelasnya, selain melipatgandakan usaha sedia ada, pendekatan strategik diperlukan bagi mendepani cabaran baharu dan mengatasi dugaan yang menuntut keterbukaan minda.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|