Lelaki maut ketika melintas jalan menuju ke tempat kerja

Lelaki maut ketika melintas jalan menuju ke tempat kerja

Tawau: Seorang lelaki maut dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan dalam kejadian di Batu 15, Jalan Apas, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.35 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 50 tahun dipercayai melintas jalan menuju ke tempat kerjanya yang berada di sebelah kanan jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun dalam perjalanan dari Semporna menuju ke Tawau.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian tiba-tiba seorang pejalan kaki melintas jalan dalam keadaan berlari dari sebuah restoran menuju ke kanan bahu jalan.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu Nissan Navara tidak dapat mengelak lalu melanggar pejalan kaki terbabit.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Nissan Navara tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tawau dan bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian Covid-19 diperolehi.

“Polis masih meneruskan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|