WARISAN dakwa Hajiji tidak boleh kekal sebagai Ketua Menteri

WARISAN dakwa Hajiji tidak boleh kekal sebagai Ketua Menteri

Kota Kinabalu: Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sebarang kenyataan daripada Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor tidak akan menghentikan spekulasi bahawa kedudukannya sebagai Ketua Menteri tidak lagi boleh dikekalkan.

Beliau berkata, ini seperti termaktub dalam Perkara 6(3) dibaca dengan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah, yang menyatakan bahawa Ketua Menteri hendaklah dari ketua parti yang mendapat majoriti bilangan kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 (PRN-16) pada 2020.

Mohd Shafie Apdal menunjukkan buku Perlembagaan Negeri Sabah pada sidang media di Ibu Pejabat Parti WARISAN, di Kolombong, hari ini.

“Datuk Seri Hajiji kini bukan ahli atau ketua kepada mana-mana parti politik selepas beliau meninggalkan Bersatu.

“Kenyataan Datuk Seri Hajiji untuk menubuhkan parti politik baharu bukan sahaja berbentuk satu tindakan lompat parti tetapi juga mengkhianati mandat rakyat yang telah mengundi (Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dinaungi Bersatu/PN,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat WARISAN di Kolombong, di sini, hari ini.

Menurutnya, GRS ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada PRN-16 pada 2020 bersama BN, PN dan PBS. GRS kemudiannya didaftarkan sebagai sebuah parti politik sebelum Pilihan Raya Umum ke 15.

Mohd Shafie Apdal ketika sidang media di Ibu Pejabat WARISAN di Kolombong, hari ini.

Katanya, ketika ini tidak dapat dipastikan sama ada Bersatu Sabah sebagai komponen utama GRS akan memilih untuk kekal bersama GRS.

“Seorang Ketua Menteri yang bersendirian tanpa sebarang kepastian sama ada dia mendapat
sokongan majoriti Ahli Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah, perlu meletakkan jawatan sepertimana termaktub dalam Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah seperti yang dinyatakan dalam perenggan di atas.

“Tiada siapa yang tahu sama ada Ketua Menteri pada ketika ini masih mendapat kepercayaan dan sokongan majoriti dalam DUN Sabah untuk terus menerajui kerajaan negeri sebagai Ketua
Menteri Sabah,” katanya.

Menurutnya lagi, majoriti ahli DUN Sabah mempunyai hak untuk memilih seorang ahli DUN Sabah untuk dilantik ke jawatan Ketua Menteri Sabah dengan menghantar satu nama calon untuk diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah, pada bila-bila masa.

“Kecelaruan politik di Sabah berpunca tindakan Datuk Seri Hajiji sendiri yang mahu mengekalkan jawatannya selepas PRU-15 meskipun Bersatu/PN tidak lagi bersama Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|