Jasnih, Dr Yusof bantah tindakan UMNO Sabah

Jasnih, Dr Yusof bantah tindakan UMNO Sabah

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya berkata beliau tidak akan mengubah prinsipnya untuk bersekongkol dengan Parti Warisan (WARISAN) menerusi tindakan UMNO Sabah menarik diri daripada kerajaan negeri.

Jasnih yang disenaraikan antara lima ADUN UMNO tidak menyokong tindakan diumumkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin malam tadi, berkata beliau mengambil keputusan tidak menyokong perubahan kerajaan kerana beberapa faktor yang diambil kira dari sudut professional dan peribadi.

Sebaliknya, beliau berkata akan terus menyokong kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selain mengakui memahami risiko tindakan itu dan bersedia untuk menerima hukuman atau dipecat dari UMNO.

“Saya tidak akan mengubah prinsip saya untuk bersekongkol dengan parti Warisan yang saya tentang ketika PRN16 dan saya percaya kerajaan yang ada di bawah DSP Hajiji telah memberikan 100 peratus untuk rakyat negeri ini dan patut diberikan peluang untuk menamatkan tempoh jerajaan yang ada dua tahun lagi sehingga habis penggal tanpa menyusahkan rakyat.

“Hidup ini hanya sekali, saya membuat keputusan untuk bukan sahaja menjaga prinsip saya tetapi juga maruah keluarga dan bangsa saya,” katanya.

Sementara itu, ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, menyifatkan tindakan UMNO Sabah menarik diri dari kerajaaan negeri menjatuhkan imej UMNO di kaca mata rakyat Sabah dan dari luar.

“Kita mahu memulihkan UMNO yang sudah terjejas pada PRU15. Sekarang bertambah parah.

“Pemimpin UMNO Sabah dinilai sebagai ‘trouble maker’. Inilah jadinya kalau kita angkat pemimpin yang bermasalah dan kurang waras dan tidak memikir kesan dan akibat bila buat tindakan sebegini,” katanya.

Dr Yusof juga adalah antara lima ADUN UMNO yang tidak menyokong tindakan UMNO Sabah.

Jelasnya, tindakan itu menimbulkan kemarahan netizen dan rakyat.

“Rakyat bukan mahu tukar kerajaan, tapi rakyat mahu kerajaaan stabil, harga barang turun, ekonomi baik, peluang pekerjaan dan lain-lain.

“Rakyat sudah penat dengan politik ini. Pemimpin sudah penat dengan percaturan politik ini. Pegawai kerajaan sudah penat. Pelabur dan peniaga semakin takut dengan cubaan rampas kuasa begini.

“Sepatutnya tunggulah PRN akan datang. Habiskan dulu penggal ini sehingga 2025,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|