RM20 juta bayaran Insentif Harga Getah kepada pekebun kecil diteruskan

RM20 juta bayaran Insentif Harga Getah kepada pekebun kecil diteruskan

Tuaran: Kerajaan negeri meneruskan Pembayaran Insentif Harga Getah berjumlah RM20 juta kepada pekebun kecil getah, pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM16.35 juta kepada Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) bagi pembangunan subsektor komoditi getah, dalam Belanjawan 2023 Sabah.

Katanya, melalui pembayaran insentif ini, pekebun kecil diberi tambahan harga getah sebanyak RM0.25 sekilogram bagi getah kentalan.

“LIGS turut menyumbang subsidi sebanyak RM0.05 bagi sekilogram getah kentalan menjadikan jumlah tambahan harga bagi sekilogram adalah RM0.30.

“Justeru, saya mahu pengurusan dan semua kakitangan LIGS agar terus berusaha meningkatkan kualiti serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada pekebun kecil getah.

“Terutamanya dalam aspek membangunkan tanah milik pekebun kecil sehingga kepada pemprosesan dan pemasaran getah mereka ke pasaran antarabangsa.

“Perkhidmatan dan operasi pembelian getah secara terus ke kebun milik pekebun kecil di mana juga berada diteruskan seperti biasa.

“Saya percaya LIGS telah dan akan terus melaksanakan tangunggjawab ini dengan berkesan,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada Pekebun Kecil Getah Negeri Sabah di Dewan Sri Sulaman, Tuaran, hari ini.

Teks ucapan beliau telah disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelanocngan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.

Mengenai majlis itu, Hajiji berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan BMT sebanyak RM69,058,400 kepada seramai 86,323 pekebun kecil di seluruh Sabah.

Menurutnya, bantuan yang diberikan ini, telahpun dinaikkan daripada RM600 seorang sebelum ini, kepada RM800 setiap penerima.

“Kerajaan Negeri, melalui LIGS, akan mengagih-agihkan BMT dan bantuan ini mula dibayar hari ini. Saya memahami bebanan dan kesan masalah yang dihadapi oleh semua pekebun kecil dan penoreh getah di negeri ini, justeru bantuan ini diharap dapat meringankan beban mereka.

“Justeru, sebagai kerajaan negeri yang prihatin dan peka dengan nasib pekebun kecil getah, kita telah memberikan beberapa bantuan termasuklah BMT pada hari ini sebagai usaha dan sokongan bagi meringankan beban pekebun kecil getah di negeri ini.

“Kerajaan negeri sentiasa peka dan prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh pekebun kecil dan penoreh getah di negeri ini.

“Kita sentiasa mencari jalan untuk membantu, kerana pekebun kecil juga terpaksa menghadapi keadaan cuaca yang tidak menentu terutama pada hujung tahun, sehingga menjejaskan pendapatan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain faktor cuaca, ketika ini juga industri getah di seluruh dunia termasuk di Sabah turut dilanda penyakit daun luruh getah yang dikenali sebagai PESTA LOP TI-OP SIS (Pestaloptiopsis).

Jelasnya, penyakit ini boleh mengurangkan hasil getah sehingga 50 peratus sekali gus akan memberi kesan kepada pekebun kecil getah.

“LIGS bagaimanapun telah mengambil tindakan proaktif secara berterusan bersama agensi lain seperti Lembaga Getah Malaysia dan RISDA dalam menangani masalah ini,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|