Sudah-sudahlah jadi tali barut wahai Dr Yusuf – UMNO Sipitang

Sudah-sudahlah jadi tali barut wahai Dr Yusuf – UMNO Sipitang

Kota Kinabalu: Dakwaan ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusuf Yacob yang menggesa Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin perlu meletak jawatan susulan episod ‘rampasan kuasa’ adalah kenyataan bersifat dangkal.

Menurut Ketua Bahagian UMNO Sipitang, Datuk Kamarlin Ombi berkata, sebaliknya bekas rakyat Parti Warisan itu yang kini menyertai UMNO Sabah perlu muhasabah diri memandangkan tiada insiden rampasan kuasa seperti dimaksudkan.

Malah jelasnya, ia terbukti, tingkah laku Dr Yusuf juga menampakkan dirinya sebagai talibarut yang sengaja mencetus provokasi demi kepentingan diri.

“Seperti mana kenyataan sidang media YB Datuk Bung semalam, BN Sabah bertindak demikian selepas meneliti dan memperhalusi keabsahan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang dilihat tidak berparti kerana sudah keluar daripada asasnya iaitu Parti Bersatu.

“Ia ditambah lagi dengan adanya tindakan penukaran jawatan yang melibatkan pemimpin BN Sabah dalam rombakan kabinet dan GLC tanpa adanya perbincangan dengan Pengerusi BN Sabah, jadi sudah tentu kita melihat konteks-konteks sebegini.

“Apakah Dr Yusuf sudah mengintai peluang lain seperti GLC yang dikosongkan sehingga membelakangkan semangat kepartian dan sanggup mengadu domba mengenai Datuk Bung?

“Saya nasihatkan, Dr Yusuf berhentilah menjadi katak dan usahlah secara berterusan berperanan jadi tali barut,” katanya.

Pagi tadi, ADUN Sindumin yang juga bekas pemimpin WARISAN itu bertindak memuat naik satu kenyataan berhubung situasi terkini politik di Sabah.

Jelas Dr Yusuf dalam kenyataan itu, beliau meminta Bung Moktar supaya meletak jawatan kerana cubaan rampasan kuasa yang kini menjadi bahan cemuhan rakyat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|