Hajiji masih ada sokongan majoriti, tiada isu ‘locus standi’ – Masidi

Hajiji masih ada sokongan majoriti, tiada isu ‘locus standi’ – Masidi

Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan dakwaan yang mengatakan Datuk Seri Hajiji Noor hilang locus standi dan tidak layak menjadi Ketua Menteri atas sebab keluar BERSATU sebagai tidak berasas.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia kerana Hajiji dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bekas ahli BERSATU sudah menjadi ahli GRS secara keahlian langsung.

Sehubungan itu, katanya adalah tidak wajar membuat andaian semata-mata dengan memberikan maklumat tidak berasas mengenai status GRS yang dianggap hanya parti gabungan dan bukan sebuah parti politik.

Beliau menegaskan GRS telah didaftar dan diluluskan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan penggunaan logo GRS dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkan ahli parti GRS menyertai proses pilihan raya.

“Ini bermakna GRS adalah sebuah parti politik mengikut takrifan ‘parti politik’ seperti yang dinyatakan dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

“Pertama ‘parti politik’ ertinya mana-mana pertubuhan yang menurut mana-mana tujuan atau kaedahnya, tidak kira sama ada tujuan atau kaedah itu adalah tujuan atau kaedah utamanya, atau semata-mata adalah tujuan atau kaedah yang menjadi tambahan kepada tujuan atau tujuan-tujuan utamanya atau kepada kaedah atau kaedah-kaedah utamanya, mengadakan peruntukan bagi pertubuhan itu menyertai, melalui calon- calonnya, dalam pemilihan ke Dewan Rakyat, atau ke Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kedua, ia bermakna mana-mana pertubuhan yang, walau apapun apa-apa jua yang terkandung dalam tujuan-tujuan atau kaedah-kaedahnya, menjalankan apa-apa aktiviti atau meneruskan apa-apa tujuan yang melibatkan penyertaannya, melalui calonnya, dalam pemilihan ke Dewan Rakyat, atau ke DUN dan termasuklah gabungan pertubuhan sedemikian yang telah didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, selaras dengan takrifan itu dan apa yang termaktub dalam Perlembagaan GRS, membolehkan ahlinya membabitkan diri dalam sistem demokrasi berperlembagaan dan proses pilihan raya.

Beliau berkata, atas sebab itu GRS adalah sebuah ‘parti politik’ yang bersifat individu dan bukan bersifat persatuan atau gabungan parti politik semata- mata.

“Justeru itu, sebarang dakwaan tentang kedudukan Datuk Seri Hajiji Noor telah kehilangan ‘locus standi’ sebagai Ketua Menteri Sabah adalah dibuat secara melulu dan tanpa merit.

“Ingin ditegaskan bahawa Datuk Seri Hajiji Noor masih mempunyai sokongan majoriti di dalam DUN Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|