Warga emas selamat, kereta dipandu terbakar

Warga emas selamat, kereta dipandu terbakar

Kudat: Seorang wanita warga emas terselamat selepas kereta yang dipandunya terbakar dalam kejadian di Jalan Kampung Tinutudan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa berusia lingkungan 60 tahun sempat keluar dari kereta jenis Toyota Corolla, sebaik menyedari kepulan asap keluar dari bahagian hadapan kereta berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.09 malam.

Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman membabitkan kebakaran kereta di Kudat.

Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba terus menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula air dari tangki jentera.

“Api berjaya dikawal pada jam 8.38 malam sebelum berjaya dipadam sepenuhnya beberapa minit selepas itu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.44 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|