MAFS bangunkan semula sistem data raya tangani isu bahan makanan

MAFS bangunkan semula sistem data raya tangani isu bahan makanan

Kota Kinabalu: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) akan membangunkan semula sistem data raya atau database bahan makanan berasaskan pertanian sebagai panduan menangani isu bahan makanan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sistem itu perlu diwujudkan semula berdasarkan keperluan semasa dalam industri pengeluaran bahan makanan yang kini berdepan pelbagai cabaran.

Beliau berkata, kementeriannya akan mendapatkan khidmat pihak yang berkaitan bagi melaksanakan semula sistem itu dalam masa terdekat.

“Mengenai ‘database’ ini, kita akan memanggil orang yang terbabit untuk mendapatkan yang terbaik dan termurah untuk kita laksanakan semula. Sistem ini dahulu sudah ada cuma ianya tidak bergerak.

“Sekarang kita lihat ia amat perlu. Kadang-kadang kita lihat sayur di tempat ini mahal tapi tempat lain murah, jadi kalau ada ‘database’ kita akan dapat maklumkan petani dan ianya akan dapat ditangani dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Bank Bergerak Agrobank, di sini, hari ini. Hadir sama timbalannya, Chan Foong Hin.

Mohamad berkata, sistem data raya itu akan dilaksanakan secepat mungkin bagi memastikan keterjaminan makanan di negara ini berada pada tahap yang memuaskan.

Katanya, menerusi sistem berkenaan, pihaknya akan dapat membuat unjuran dan langkah awal bagi mengelak berlaku sebarang kemungkinan kekurangan bahan makanan.

Jelasnya, sistem data raya membolehkan maklumat bahan makanan diperolehi secara ‘real time’ termasuk berkaitan jenis sayuran yang sedang ditanam, jumlah pengeluaran, lokasi pengeluaran, jumlah import dan eksport, jumlah permintaan serta kos pengeluaran.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|