106 pegawai perubatan, anggota ATM digerakkan bagi misi hospital medan ke Turkiye

106 pegawai perubatan, anggota ATM digerakkan bagi misi hospital medan ke Turkiye

Kota Kinabalu: Malaysia akan menghantar seramai 106 pegawai perubatan dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi hospital medan ke Turkiye, susulan gempa bumi yang berlaku di negara itu, baru-baru ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pasukan itu dijangka berlepas seawal malam ini atau awal pagi esok dengan menggunakan dua pesawat tentera Airbus A400.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menghadiri program Sepetang Bersama Menteri Pertahanan Malaysia Di Kem Lok Kawi.

Menurut beliau, penempatan pasukan itu akan ditentukan oleh Turkiye berdasarkan keperluan di kawasan-kawasan yang tertentu.

“Kita telahpun menggerakkan kor perubatan untuk menghantar sepasukan hospital medan yang mana setiapnya adalah seberat 44 tan.

“Kita belum tahu di mana kawasan keperluan yang perlu kita pergi kerana kita tidak tahu kawasan yang terlibat dan terlalu luas.

“Makanya, kita serahkan kepada pihak negara Turkiye untuk meletakkan di mana sesuai untuk anggota perubatan kita membina dan mengurus pengoperasian hospital medan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem Lok Kawi, di sini, hari ini.

Katanya, pasukan itu dijangka akan berada di Turkiye selama enam minggu untuk membantu usaha mencari dan menyelamat serta rawatan perubatan yang diperlukan.

Jelas beliau, pasukan itu akan membawa bekalan perubatan dan keperluan secukupnya agar tidak memberi beban kepada tuan rumah.

“Maknanya kita ke sana dengan kekuatan penuh, seolah-olah kita pergi ke medan perang. Kita perlu membawa peralatan dan bekalan kita sendiri.

“Kita tidak boleh mengharapkan tuan rumah kerana mereka dalam keadaan menghadapi malapetaka, jadi kita perlu berdikari agar dapat menjaga diri sepanjang tempoh itu.

“Kita doakan agar anggota kita yang menjalankan tugas membantu dan merawat yang cedera berada dalam keadaan selamat dan sentiasa berhati-hati kerana terdapat kemungkinan berlaku gegaran susulan,” katanya.

Dalam pada itu, Hasan berkata Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan digerakkan dalam masa terdekat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|