Labuan: Seorang lelaki tempatan dipenjara dua tahun dan denda RM10,000 atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Labuan, di sini, hari ini.
Tertuduh berumur 24 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan Tahun 2020 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan 50mg dalam 100ml darah.

Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad yang mendengar kes itu turut menetapkan penjara empat bulan lagi jika tertuduh gagal membayar denda.
Tertuduh bagaimanapun membayar denda itu namun hilang kelayakan memandu selama dua tahun.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan polis ketika Operasi Memandu Di Bawah Pengaruh Alkohol di Jalan Tun Mustapha Wilayah Persekutuan Labuan, pada tahun lalu.
Selain tertuduh, lima orang lagi dikeluarkan waran tangkap oleh Mahkamah Majistret Labuan kerana gagal hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan di bawah kesalahan yang sama pada pagi ini.
Pendakwaan dilakukan Inspektor Yohanes Balong.
Sementara itu, Ketua Polis Labuan, Superintendan Ahmad Jawila menasihatkan masyarakat supaya tidak memandu di bawah pengaruh alkohol kerana perbuatan itu boleh membahayakan diri dan pengguna jalan raya yang lain sehingga menyebabkan kecederaan parah dan kematian.
Kerajaan sebelum ini telah meminda hukuman bagi kesalahan Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang membawa kepada hukuman lebih berat iaitu hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM30,000 jika sabit kesalahan.
-Deasoka