Agrobank sedia perkhidmatan bank bergerak di Lahad Datu, Tawau dan Beaufort

Agrobank sedia perkhidmatan bank bergerak di Lahad Datu, Tawau dan Beaufort

Kota Kinabalu: Selaras dengan agenda kerajaan dalam meningkatkan inklusiviti kewangan di kawasan luar bandar, Agrobank hari ini melancarkan Bank Bergerak pertamanya di Sabah.

Pelancarannya disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Seri Mohamad Sabu, sambil disaksikan timbalannya, Chan Foong Hin; Pengerusi Agrobank, Datuk Yunos Abd Ghani, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Ketua Jabatan Rangkuman Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM), Nor Rafidz Nazri.

Mohamad (tengah) melancarkan perkhidmatan bank bergerak Agrobank di Kota Kinabalu.

Bercakap mengenai inisiatif pembangunan luar bandar itu, Tengku Ahmad Badli berkata sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan (IKP), Agrobank sentiasa beriltizam untuk meningkatkan pembangunan luar bandar ke arah mencapai rangkuman kewangan dengan memperluaskan akses pembiayaan kepada golongan yang kurang mendapat liputan sejajar dengan matlamat BNM.

“Pertanian merupakan antara sumber ekonomi terpenting di Sabah. Justeru, menerusi pembangunan sektor pertanian di Sabah yang semakin melonjak, Agrobank yakin bahawa Bank Bergerak ini mampu merangsang ekonomi di Negeri di Bawah Bayu ini serta dalam masa yang sama membantu memudahkan urusan perbankan penduduk menerusi perkhidmatan pengeluaran dan deposit ATM serta tawaran khidmat nasihat berkaitan produk Bank,” katanya.

Beliau berkata, bagi mencapai rangkuman kewangan, pihaknya memperkenalkan perkhidmatan perbankan bergerak dan berbangga bahawa Agrobank adalah bank pertama yang menyediakan perkhidmatan eksklusif itu kepada penduduk di sekitar Lahad Datu, Tawau dan Beaufort.

Jelasnya, perkhidmatan itu penting kerana penduduk dianggarkan perlu mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam dan enam belas minit dengan jarak 73.8 km untuk ke pekan terdekat bagi mendapatkan akses perbankan.

“Usaha ini bukanlah yang pertama daripada Agrobank. Sebelum ini, inisiatif seumpama ini pernah diperkenalkan pada tahun 1970-an yang dikenali sebagai Bank Bergerak Bank Pertanian Malaysia.

“Pada November 1994, Agrobank turut menyediakan Bank terapung pertama di Malaysia, dikenali sebagai PATRIOT Rejang yang menyusuri Sungai Rejang untuk menyediakan akses perbankan asas bagi komuniti di sekitar Kapit, Sibu dan Belaga di Sarawak.

“Terbaharu, pada tahun 2022, Agrobank turut melancarkan Bank Bergerak dengan mekanisme yang sama di Sarawak.

“Lokasi perkhidmatan perbankan Agrobank kebanyakannya terletak di kawasan luar bandar dan kami percaya perkhidmatan kewangan yang komprehensif merupakan tunjang utama untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi sekali gus meningkatkan pemerkasaan individu dan komuniti,” katanya.

Sementara itu, Muhamad berkata, dalam
usaha untuk memastikan kestabilan sekuriti makanan dan pembangunan sosioekonomi komuniti yang kurang mendapat perhatian, pelbagai usaha perlu dilaksanakan bersama bagi memastikan hasrat itu dapat dicapai.

Katanya, kerajaan menerusi kementerian, agensi, organisasi dan rakyat perlu berganding bahu untuk merealisasikan tanggungjawab itu.

“Simbiosis dan sinergi pelan perancangan strategik yang kukuh perlu diadaptasi dalam perancangan setiap entiti badan kerajaan mahupun swasta.

“Ini penting bagi menjamin pembangunan komuniti di luar bandar khususnya dalam mencapai Malaysia Madani. Justeru, usaha Agrobank ini adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam meningkatkan rangkuman kewangan serta pada masa yang sama membantu membangunkan sektor pertanian negara,” katanya.

Bank Bergerak Agrobank adalah program bantuan yang disediakan kerajaan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulih Ekonomi (PEMULIH) dengan peruntukan sebanyak RM18 juta untuk membantu segmen yang kurang mendapat liputan ke arah pengukuhan ekonomi yang lebih baik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|