Kerajaan rancang beli dua lagi kapal selam perkukuh aset TLDM

Kerajaan rancang beli dua lagi kapal selam perkukuh aset TLDM

Kota Kinabalu: Bagi memastikan kepentingan maritim negara sentiasa terpelihara, kerajaan melalui Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merancang untuk memperoleh dua lagi kapal selam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, kapal selam TLDM merupakan aset strategik negara yang telah melonjakkan kemampuan armada TLDM seiring dengan keperluan strategi pertahanan maritim untuk menangani suasana geo-strategik serantau dan global terutamanya isu berkaitan Laut China Selatan (LCS).

“Melalui Pelan Transformasi TLDM 15 to 5, TLDM merancang untuk memperolehi sebuah lagi kapal selam dalam
Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK-14) 2031 – 2035 manakala sebuah lagi dalam RMK-15, 2036 – 2040.

“Perancangan jangka masa panjang permodenan Armada TLDM ini termasuk perolehan kapal-kapal permukaan lain sesungguhnya akan memantapkan lagi keupayaan TLDM dalam menghadapi dimensi peperangan alaf baru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika tinjauan ulung ke Sabah membabitkan Pangkalan TLDM dan Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) Kem Lok Kawi, semalam.

Lawatan itu adalah bagi meninjau fasiliti dan kemudahan kem tentera di pantai barat Sabah seterusnya meninjau keadaan pengoperasian dan kesiap siagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta warga kerja Kementerian Pertahanan.

Beliau turut melawat Jeti Operasi Markas dan Jeti Operasi Kapal Selam untuk melihat secara langsung Fasiliti Senggaraan Kapal Selam (Subfac), KD Tunku Abdul Ragman dan Tun Abdul Razak, Skuadron (SKN) Udara Kota Kinabalu merangkumi SKN 503 dan SKN 601, Kapal Littoral Mission Ship (LMS) KD Badik dan KD Serang serta Kompleks Menembak PTTK.

Beliau berkata, selain itu TLDM juga mensasarkan perolehan Littoral Mission Ship (LMS) batch kedua (LMSB2).

Katanya, perancangan LMSB2 telah didaftarkan dalam rancangan perolehan di bawah RMK-12 dan kini sedang menunggu kelulusan Kementerian Kewangan.

“Melalui ketersediaan operasi, TLDM juga akan meningkatkan keupayaan operasi di KD Sri Sandakan dan KD Sri Tawau dari segi infrastruktur, aset dan kelengkapan dalam mengatasi ancaman di Perairan Laut Sulu dan Sulawesi.

“Perancangan ini juga sudah didaftarkan dalam RMK-12 dan sedang menunggu kelulusan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, pembangunan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA4) di Bintulu Sarawak kini sedang dalam pertimbangan lanjut kerajaan.

“Keperluan MAWILLA 4 adalah kritikal bagi menangani pencerobohan aset negara asing di Perairan Sarawak.

“TLDM merancang untuk menempatkan warga operasi dan kapal bersesuaian di MAWILLA 4 bagi meningkatkan pengawasan dan keselamatan perairan Laut China Selatan, selain mengekang ancaman pencerobohan daripada anasir luar,” katanya.

Sementara itu, katanya isu kedaulatan dan keselamatan negara tidak boleh dikompromi malah menjadi agenda utama Kementerian Pertahanan.

“Ia demi memastikan TLDM berupaya untuk terus menunaikan tanggungjawabnya dalam melaksanakan operasi dan tugasan penting bagi mempertahankan kedaulatan serta kepentingan maritim negara,” ujarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|