Kumpulan YS, MBMC, NRRN teruskan kerjasama penyelidikan di Lembangan Maliau

Kumpulan YS, MBMC, NRRN teruskan kerjasama penyelidikan di Lembangan Maliau

Kota Kinabalu: Kumpulan Yayasan Sabah (YS), Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Maliau (MBMC) dan Rangkaian Penyelidikan Hutan Hujan Nordik (NRRN) sepakat untuk meneruskan kerjasama di Kawasan Konservasi Lembangan Maliau (MBCA).

Selain bakal memperkukuhkan lagi kerjasama antara ketiga-tiga pihak, perjanjian lanjutan itu dijangka akan menarik minat lebih ramai komuniti penyelidik Nordik untuk menjalankan lebih banyak penyelidikan di Lembangan Maliau.

Sam Mannan (tiga kiri), Frederick (tiga kanan) dan Prof Ida (dua kanan) menunjukkan dokumen MoU yang ditandatangani sambil disaksikan Abidin.

Menyaksikan pemeteraian Lanjutan Memorandum Persefahaman (MoU) selama lima tahun itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir berkata, ia tertumpu kepada MBCA dan kawasan sekitar bidang kuasa MBMC.

Menurut beliau, MoU itu merupakan satu langkah penting dalam usaha berterusan demi melindungi dan memelihara hutan hujan Sabah yang amat berharga.

Tambahnya, menerusi kerjasama itu, semua pihak akan dapat menjalankan penyelidikan mendalam mengenai biodiversiti unik hutan hujan kita di samping membangunkan strategi pemuliharaan yang berkesan demi pelindungan.

“Kita akan memanfaatkan kepakaran saintis dan penyelidik terkemuka untuk memahami ciri unik hutan hujan kita dengan lebih baik di samping membangunkan strategi pemuliharaan yang berkesan.

“Kita juga akan dapat bekerjasama rapat dengan masyarakat tempatan bagi memastikan mata pencarian serta warisan budaya mereka dihormati dan dilindungi.

“Oleh yang demikian, jalinan kerjasama ini bakal membawa kemajuan yang ketara dalam pemahaman kita tentang hutan hujan negeri Sabah dan membuka jalan mengenai usaha pemuliharaan yang lebih berkesan pada masa akan datang.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada NRRN atas komitmennya terhadap usaha penting ini, dan saya tidak sabar untuk melihat hasil kerjasama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Menandatangani Perjanjian MoU, di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Skop inisiatif perjanjian tersebut adalah berdasarkan MoU yang telah ditandatangani pada 12 Jun 2015 yang meliputi bidang penyelidikan lapangan, hab latihan dan pemupukan minat para komuniti penyelidikan Nordik dalam menjalankan penyelidikan di Lembangan Maliau.

Ia termasuk penyelidik dari Universiti Copenhagen, Sekolah Perniagaan Copenhagen dan Universiti Sains Pertanian Sweden dalam mempromosi, menyokong dan memudahkan aktiviti penyelidikan, pendidikan dan latihan, khususnya di MBCA.

Kumpulan Yayasan Sabah yakin kerjasama ini bakal menyumbang secara signifikan terhadap inisiatif penyelidikan saintifik positif, khususnya dalam menilai, memantau, dan mengurus sumber biodiversiti secara mampan, selain mempromosikan faedah hutan hujan tropika.

Menyedari hakikat strategi pemuliharaan yang dilaksanakan dengan baik memerlukan dasar kerajaan yang kukuh serta pewujudan kerjasama pintar, Kumpulan Yayasan Sabah terus membina perkongsian dengan pelbagai rangkaian organisasi global untuk mencapai impak yang lebih ketara dalam menangani cabaran pemuliharaan yang mendesak selain memperoleh ilmu serta kepakaran.

Dalam hal itu, sebagai salah satu kawasan konservasi Kumpulan Yayasan Sabah, Lembangan Maliau kini bersedia untuk pencapaian konservasi tahap tinggi menerusi kerjasama dengan NRRN dalam usaha menjadikannya sebagai kawasan penyelidikan, pendidikan dan latihan penting di rantau ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|