Kuala Lumpur: Pemilik kenderaan persendirian tidak lagi perlu mempamerkan pelekat Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau ‘roadtax’, berkuatkuasa hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pengangkutan untuk melaksanakan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Beliau berkata, inisiatif baharu itu dilaksanakan khususnya yang membabitkan LKM dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian.
“Mulai 10 Februari 2023, pemilik kenderaan persendirian warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ di bawah satu projek perintis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata peruntukan di bawah Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan yang mewajibkan lesen kenderaan bermotor dipamerkan pada kenderaan, tidak lagi akan dikuatkasakan.
“Inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu termasuk motosikal. Saya mengalu-alukan semua pemandu dan pemilik kenderaan untuk beralih ke platform digital.
“Dengan pendigitalan, keadaan sesak dan beratur panjang di kaunter JPJ akan berkurangan dan ini akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan keselesaan rakyat.
“Orang awam digalakkan mendaftar akaun masing-masing secara digital melalui portal awam JPJ [https://public.jpj.gov.my/] atau aplikasi mobile MyJPJ,” katanya.
-Deasoka