Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini menerima kunjungan hormat delegasi Human Resource Development Corporation (HRD Corp) yang diketuai Ketua Eksekutifnya, Datuk Shahul Dawood di Menara Kinabalu, di sini.
Pada kunjungan itu, Hajiji diberi taklimat berhubung cadangan program kolaborasi di antara HRD Corp dengan Kerajaan Negeri selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Sabah (SMJ).

HRD Corp yang dahulunya dikenali sebagai HRDF adalah sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Sumber Manusia yang bertanggungjawab memacu aspirasi pembangunan bakat pekerja melalui kutipan levi daripada majikan dan pembiayaan program latihan serta pembangunan untuk tenaga kerja Malaysia.
Hajiji mahu HRD Corp membantu negeri ini dalam menangani sebarang jurang kemahiran dan cabaran tenaga kerja khususnya melibatkan rakyat tempatan negeri ini agar mereka boleh membangun, menarik dan mengekalkan bakat serta kemahiran terbaik.
Katanya, usaha melatih dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan sesuai dengan keperluan pasaran pekerjaan adalah antara agenda kerajaan untuk memperkasaan modal insan negeri ini.
“Menerusi program latihan dan peningkatan kemahiran yang disediakan HRD Corp kepada tenaga kerja sedia ada, ia dapat membantu memperkukuh pembangunan modal insan,” katanya.
HRD Corp bertapak di Sabah sejak 1998 dengan sebanyak 4,571 majikan di negeri ini berdaftar dengan agensi itu setakat ini.
-Deasoka