Kontraktor didakwa guna dokumen palsu dapatkan tender RM278,790

Kontraktor didakwa guna dokumen palsu dapatkan tender RM278,790

Labuan: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender kerajaan bernilai RM278,790 pada 2019 ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Labuan, di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd Asyraf Kula, 30 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Jason Juga selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mohd Asyraf yang didakwa mengemukakan dokumen palsu sebagai tulen bagi mendapatkan tender perkhidmatan Perbadanan Labuan dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga tujuh tahun selain denda.

Berdasarkan fakta kes, Mohd Asyraf selaku seorang kontraktor di Wilayah Persekutuan Labuan, didakwa menggunakan secara curang satu dokumen palsu sebagai tulen iaitu penyata akaun Public Bank Berhad atas nama perniagaan MA Berkat Enterprise.

Perbuatan itu yang didakwa dilakukan tertuduh pada 2019 dipercayai dibuat untuk menipu Perbadanan Labuan bagi mendapatkan tender perkhidmatan kerja-kerja menyiram pokok, pokok renek dan bunga di kawasan Pakej B.

Kerja-kerja itu dilaksanakan untuk Perbadanan Labuan bagi tempoh kontrak selama dua tahun dengan nilai tender sebanyak RM278,790.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan deposit RM5,000 dan seorang penjamin tempatan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Faliq Basirudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Mac depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|