Warga emas cuba terjun bangunan diselamatkan

Warga emas cuba terjun bangunan diselamatkan

Kota Kinabalu: Cubaan seorang wanita warga emas untuk terjun dari sebuah hotel di Kampung Air, di sini, berjaya dihalang selepas dipujuk orang awam, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang berusia 63 tahun dikatakan disedari orang awam selepas berada di atas bumbung bangunan berkenaan dalam keadaan tekanan emosi.

Bagaimanapun, mangsa akhirnya berjaya dipujuk oleh beberapa orang awam sebelum dibawa turun dengan selamat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 4.45 petang.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Hasil maklumat yang diterima, mangsa dikatakan cuba membunuh diri di atas bumbung tingkat satu bangunan berkenaan.

“Setibanya pasukan bomba dilokasi kejadian, mangsa didapati berjaya dipujuk oleh orang awam dan dibawa turun dari bangunan dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 5 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|