Peruntukan RM1 bilion naik taraf prasarana sempadan beri kesan positif kepada Sabah, Sarawak

Peruntukan RM1 bilion naik taraf prasarana sempadan beri kesan positif kepada Sabah, Sarawak

Kota Kinabalu: Peruntukan RM1 bilion menaik taraf prasarana sempadan di Sabah dan Sarawak seperti diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mampu membawa kesan positif kepada kedua-dua negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif, berkata peruntukan itu sememangnya amat dialu-alukan, malah ia membuktikaan kesungguhan Kerajaan Perpaduan memastikan rakyat Sabah dan Sarawak mendapat akses setara dari segi dana dan pertumbuhan infrastruktur, ekonomi serta sosial.

Selain itu, beliau berkata pemberian khas RM300 juta kepada Sarawak dan usaha untuk mewartakan Sabah dan Sarawak sebagai Wilayah, menguatkan lagi persepsi dan sokongan rakyat di kedua-dua negeri terhadap ideologi pentadbiran Malaysia Madani.

“Peruntukan RM1 billion itu adalah langkah awal yang tepat dan dijangka dapat memberi implikasi positif kepada perkembangan ekonomi serta sosial masyarakat Sabah dan Sarawak dalam masa yang singkat.

“Pada masa sama, usaha itu dapat memperkukuhkan lagi keselamatan rakyat kita di kawasan sepanjang sempadan Malaysia dan Kalimantan yang bakal menjadi ibu kota baharu Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Norazlinah yang juga Ketua Wanita Parti Warisan (WARISAN), bagaimanapun berkata, selaku wakil rakyat, pihaknya merasakan penyediaan infrastruktur sempadan itu adalah isu utama yang mendapat perhatian masyarakat Sabah dan Sarawak.

Katanya, selain bakal merancakkan ekonomi di pinggir sempadan Sabah dan Sarawak, pembangunan pusat pentadbiran baharu Indonesia di Nusantara, Kalimantan membabitkan kos RM135 billion (466 trilion rupiah) itu, turut dibimbangi menimbulkan pelbagai risiko ekonomi dan sosial.

“Penyeludupan haram, pemerdagagan manusia dan pelbagai lagi ancaman yang turut hadir dengan pembangunan ekonomi yang pesat adalah amat dikhuatiri memberi kesan negatif terhadap masyarakat setempat.

“Justeru, infrastruktur persempadanan yang efisien dan berkesan hasil daripada peruntukan naik taraf RM1 billion itu dapat menyumbang untuk mengawal risiko berkenaan,” katanya.

Norazlinah berkata, di samping itu, isu pencerobohan asing di pesisiran pantai Sabah dan Sarawak di sekitar Laut China Selatan yang tiada hentinya juga harus diberikan tumpuan oleh kerajaan persekutuan.

Katanya, siri pencerobohan angkatan keselamatan dan maritim China yang berlaku sejak sekian lama dan semakin kerap ketika ini menjejaskan ekonomi dan sosial masyarakat Sabah serta Sarawak.

“Lebih 89 kali kapal perang China dilaporkan memasuki kawasan perairan Sabah dan Sarawak sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan hampir tiada kawalan serta tindakan proaktif daripada Kementerian Pertahanan atau Kementerian Luar Negeri.

“Ini memberikan kesan negatif kepada industri minyak dan gas, industri perikanan serta industri pelancongan di Sabah dan Sarawak.

“Bukan sekali dua kapal Pengawal Pantai China bertindak mencerobohi kawasan Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) di Sabah, mengancam operasi cari gali minyak dan gas oleh PETRONAS di kawasan itu,” katanya.

Norazlinah berkata, siri pencerobohan China itu dapat dilihat menerusi banyak laporan media dalam dan luar negara termasuk laporan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Perpaduan terus komited untuk berkhidmat demi rakyat khususnya bagi mempertahankan kedaulatan negara serta keselamatan pesisir pantai Sabah dan Sarawak daripada sebarang ancaman asing.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|