Papar: Dua beradik lelaki ditemukan lemas ketika mandi di anak sungai di Jalan Beringis – Kawang, di sini, semalam.
Dua beradik berusia 12 dan 13 tahun, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kawang disedari lemas oleh ibu dan neneknya sebelum meminta bantuan orang awam.
Namun kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Papar.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam jam 3.02 petang mengenai kejadian itu.
Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kedua-dua mangsa mengikuti ibu dan neneknya untuk mencari lokan di tepi jalan di Jalan Beringis – Kawang.
Katanya, kedua-dua mangsa kemudiannya mandi di satu anak sungai yang ada di kawasan berkenaan manakala ibu dan nenek mereka mencari lokan di kawasan berhampiran.
“Dua beradik itu kemudiannya disedari lemas oleh ibu, neneknya di anak sungai berkenaan lalu ibu mangsa meminta bantuan orang manakala neneknya pulang ke kediamannya di Kampung Kawang untuk mendapatkan bantuan.
“Dengan bantuan penduduk kampung, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari anak sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kamaruddin berkata, kedua-dua mangsa seterusnya dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
“Setakat ini tidak terdapat sebarang unsur-unsur jenayah ke atas kematian kedua-dua mangsa.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR,” katanya.
-Deasoka