Kota Kinabalu: Kemalangan yang membabitkan van dan kereta jenis BMW di lampu isyarat, Jalan Istiadat/Bukit Bendera, Likas di sini, semalam, membongkar kegiatan dipercayai curi kabel elektrik daripada van berkenaan.
Dalam kejadian jam 1.48 tengah hari itu, polis menemui kabel elektrik dan beberapa peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan mencuri kabel elektrik di dalam van berkenaan.

Malah beberapa kabel elektrik turut tercampak keluar daripada van berkenaan susulan impak kemalangan itu.
Pemandu bersama dua lagi lelaki yang menaiki van berkenaan terus bertindak melarikan diri manakala pemandu kereta BMW mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta BWM dipandu seorang individu berusia lingkungan 50 tahun dari arah Likas menuju ke Kota Kinabalu melalui Jalan Istiadat.
“Ketika itu, memandu di lorong kanan dan apabila tiba di lampu isyarat Istiadat/Bukit Bendera, pada masa itu lampu isyarat hijau meneruskan perjalanan.

“Secara tiba-tiba sebuah van dari arah kiri (Jalan Bukit Bendera) dalam keadaan laju telah meneruskan perjalanan ketika lampu isyarat merah lalu melanggar kereta BMW berkenaan.
“Akibat kejadian pemandu BMW cedera ringan manakala tiga lelaki yang berada di dalam van berkenaan dipercayai melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemui kabel elektrik yang tercampak keluar daripada van berkenaan.
“Pemeriksaan di dalam van itu turut menemui beberapa gulung kabel dipercayai dicuri. Turut ditemui peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel.
“Polis sedang menjalankan siasatan mengesan ketiga-tiga lelaki terbabit dan pemilik sebenar van berkenaan,” katanya.
Sementara itu, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.
-Deasoka