Pemandu maut rempuh kereta di tepi jalan

Pemandu maut rempuh kereta di tepi jalan

Kota Belud: seorang lelaki maut apabila kenderaan pacuan empat roda dipandunya melanggar sebuah kenderaan parkir di bahu jalan lalu terbabas ke dalam hutan sebelum merempuh pokok.

Nahas berlaku di Jalan Botong – Rosok, di sini, jam 8.55 malam tadi menyebabkan pemandu pacuan empat roda berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kenderaan pacuan empat roda dipandu mangsa yang terbabit kemalangan di Jalan Botong – Rosok, Kota Belud.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Kampung Wokok menghala ke arah Rosok.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa telah melanggar bahagian sisi sebelah kanan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang parkir tanpa ada pemandu di tepi bahu jalan.

“Akibat itu, kenderaan dipandu mangsa terbabas ke kiri bahu jalan lalu masuk ke dalam hutan dan melanggar pokok,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Keadaan kenderaan dipandu mangsa yang terbabas ke dalam hutan dan merempuh pokok.

Shahrudin berkata, impak daripada kejadian itu mangsa parah dibahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Jenazah mangsa dibawa ke Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Shahrudin berkata, pihaknya menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan patuhi undang-undang jalan raya serta pastikan kenderaan dalam keadaan baik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|