Bomba pujuk wanita cuba terjun bangunan

Bomba pujuk wanita cuba terjun bangunan

Kota Kinabalu: Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memujuk seorang wanita yang dipercayai cuba terjun dari bangunan di Jalan Laiman Diki, Kampung Air, di sini, hari ini.

Difahamkan, wanita berusia lingkungan 30 tahun itu nekad bertindak sedemikian selepas bertengkar dengan suaminya.

Pasukan bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita yang dipercayai cuba terjun dari sebuah bangunan di Jalan Laiman Diki, Kampung Air, Kota Kinabalu.

Ketika kejadian juga, suaminya turut berada di lokasi kejadian untuk memujuk mangsa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu, jam 9.44 pagi.

Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian.

“Ketika bomba tiba, terdapat seorang mangsa wanita dipercayai cuba terjun dari sebuah bangunan setinggi kira-kira 10 meter.

“Pasukan bomba kemudian cuba memujuk dan kira-kira 10 minit usaha itu akhirnya berjaya menghalangnya daripada berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya menurunkan mangsa dalam keadaan selamat.

“Seterusnya mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi tamat sepenuhnya pada 10.06 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|