Pengusaha restoran makanan laut sedia terima kehadiran pelancong

Pengusaha restoran makanan laut sedia terima kehadiran pelancong

Kota Kinabalu: Pengusaha restoran makanan laut tempatan sudah bersedia untuk menerima kembali ketibaan pelancong antarabangsa ke negeri ini.

Pengurus The Crab House Seafood Restaurant, Sharon Pang berkata, mereka sudah tidak sabar untuk mempromosikan Sabah menerusi hidangan makanan laut yang merupakan antara ‘trademark’ negeri ini.

Ruangan makan terbuka di The Crab Seafood Restaurant.

“Semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memang agak mencabar juga. Namun, sekarang keadaan sudah beransur pulih dan tempahan kita juga semakin meningkat.

“Biasanya pelancong yang datang ke restoran kami akan memilih makanan laut seperti ketam, udang dan ikan kerana saiz dan kesegaran hidangan yang kami tawarkan.

“Lebih menarik lagi, makanan laut kita adalah daripada pembekal tempatan iaitu dari Semporna, Tawau, Kota Kinabalu, Sandakan dan Lahad Datu,” katanya.

Sharon menegaskan bahawa keselesaan dan keselamatan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan dan mereka telah mengambil langkah-langkah sewajarnya sebagai persiapan awal.

“Bermula 1 Disember lalu, kami pun telah berpindah ke lokasi baharu yang menawarkan ruang makan serta tempat letak kereta yang jauh lebih luas.

“Selain ruang makan terbuka, kami turut menawarkan ruang bilik khas berasingan yang boleh disewa, yang turut dilengkapi dengan set karaoke dan mesin permainan akrked.

“Tujuan kami menawarkan bilik-bilik ini adalah disebabkan permintaan yang tinggi daripada pelanggan yang inginkan privasi untuk acara makan bersama keluarga mereka.

“Buat masa ini, kami ada menawarkan sebanyak 11 bilik makan khas dan setiap satu daripadanya dilengkapi dengan tandas tersendiri. Selepas digunakan, kami akan lakukan kerja sanitasi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan keputusan Kerajaan Negeri untuk membuka sempadan negeri kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

Jelasnya, ia akan memberi kelegaan kepada pengusaha yang bergantung kepada kehadiran pelancongn daripada negara-negara seperti Korea dan China.

“Saya berharap agar prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pelancong tidak begitu ketat pada masa akan datang, agar ia memudahkan mereka datang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|