Tawau: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditahan selepas dipercayai memiliki motosikal curi dalam Op Samseng Jalanan (OSJ) di daerah ini, semalam.
Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika pemeriksaan rambang menggunakan alat peranti sistem pembayaran kompaun dalam talian mudah alih (MCOPS), mendapati sebuah motosikal telah didaftarkan atas kenderaan jenis Toyota Hilux.
Susulan itu, katanya pasukan operasi menghampiri dan menahan salah seorang penunggang motosikal berkenaan yang secara kebetulan hendak memulakan perjalanan.
“Semakan lanjut ke atas nombor casis motosikal itu mendapati nombor itu memiliki rekod kenderaan hilang pada November 2022 lalu.
“Remaja lelaki itu kemudian ditahan dan dibawa ke IPD Tawau bersama motosikal untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, IPD Tawau sedang mempergiatkan usaha membanteras kecurian kenderaan terutama motosikal dari semasa ke semasa dengan operasi yang lebih agresif.
Sementara itu, Jasmin berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan penting bagi mengawal anak-anak supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti jenayah.
-Deasoka