Usikan meter, SESB rugi RM5 juta tahun ini

Usikan meter, SESB rugi RM5 juta tahun ini

TAWAU: Angkara tindakan segelintir pelanggan mengusik pemasangan meter di premis dan kediaman, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mencatat kerugian RM5 juta sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Menurut Pegawai Transformasi (CTO) SESB, Ahmad Nassaruddin Kamarulzaman, dalam tempoh berkenaan, pihaknya mendapati sebanyak 1,340 premis telah disyaki melakukan usikan terhadap pemasangan meter.

“Pada tahun ini sahaja, kita kesan 1,340 kes dan daripada jumlah itu ada 1,200 pengguna domestik, 150 pengguna komersil sementara ada satu pengguna industri.

“Mereka ini dikenalpasti telah melakukan kes usikan pemasangan meter ni menyebabkan kita kerugian RM5 juta dan kita telah kenakan kompaun serta tuntutan ganti rugi,” katanya.

Pegawai Transformasi (CTO) SESB, Ahmad Nassaruddin Kamarulzaman berkata dalam tempoh berkenaan, pihaknya mendapati sebanyak 1,340 premis telah disyaki melakukan usikan terhadap pemasangan meter.


Jelas beliau, sehubungan dengan itu, pihak SESB telah melancarkan OPS Elektrik bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap pelanggan-pelanggan yang terlibat dengan usikan meter di seluruh Sabah.

Sementara itu, dalam OPS Elektrik yang dijalankan di daerah Tawau pada Rabu, Ahmad Nassaruddin berkata, enam premis telah dikenalpasti melakukan usikan pemasangan meter dan sudah diambil tindakan.

“Di Tawau pada pagi ini kita dapati ada enam premis melakukan usikan pemasangan meter.

“Bagi enam premis ini sahaja SESB menganggarkan kerugian RM120,000 dan rancangan operasi pada hari ini telah bermula sejak enam bulan lalu,” katanya ketika ditemui dalam OPS Elektrik di kawasan Tanjung Batu Laut, Tawau, hari ini.

Tambahnya, modus operandi yang dilakukan bagi aktiviti pengusikan tersebut adalah dengan melakukan penyambungan haram di belakang panel meter dan belakang fius bagi mengaburi pemeriksa atau penguatkuasa SESB.

Mengulas lanjut, sebagai usaha mengekang aktiviti berkenaan, pihaknya telah memperkenalkan imbuhan satu hingga dua peratus kepada pengadu untuk memberikan maklumat sekiranya berlaku usikan meter.

“Sekiranya mendapati ada penyambungan elektrik secara haram dan kes pengusikan meter atau premis BitCoin yang menggunakan elektrik secara tidak sah, tolong adukan kepada SESB melalui Jabatan Strike Force.

“Sebelum ini kita telah mewar-warkan dan menetapkan kita akan bagi imbuhan satu hingga dua peratus dari tuntutan ganti rugi yang mana kita akan berikan kepada pengadu,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|