UMS semak semula dasar Penyelidikan dan inovasi

UMS semak semula dasar Penyelidikan dan inovasi

Kota Kinabalu: Pusat Pengurusan Penyelidikan (PPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Bengkel Semakan Semula Dasar Penyelidikan dan Inovasi yang berlangsung selama dua hari, baru-baru ini.

Penganjuran program itu antara lain bertujuan untuk menyemak semula dasar sedia ada bagi melancarkan segala proses permohonan dan kerja-kerja berkaitan penyelidikan di UMS.

Selain itu, ia juga mengumpul dan menyeragamkan semua dokumen dan garis panduan bagi mengelakkan kekeliruan serta membantu para penyelidik mendapatkan sumber rujukan yang lebih jelas.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, penganjurannya amat bertepatan bagi menggalakkan para penyelidik lebih aktif untuk mendapatkan dana dan membuat jalinan hubungan kerjasama dengan pihak industri.

“Kita juga menggalakkan agar penyelidikan yang dijalankan hendaklah memberikan impak kepada komuniti, seiring dengan usaha pihak universiti untuk melahirkan masyarakat yang berinovasi (Leading towards Innovative Societies).

“Sebagai sebuah gedung ilmu terkemuka di Sabah, para penyelidik UMS perlu berperanan sebagai pakar rujuk dalam pelbagai bidang kepakaran.

“Inilah yang UMS mahukan iaitu ilmu dan kepakaran seharusnya dikongsi, disebarluaskan ke arah menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri Sabah tercinta ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perasmian dan Penutupan Bengkel Semakan Semula Dasar Penyelidikan dan Inovasi, baru-baru ini.

Bengkel yang diadakan buat julung kalinya itu disertai 75 peserta yang terdiri daripada dekan-dekan fakulti, pengarah-pengarah pusat, timbalan-timbalan dekan penyelidikan dan inovasi, Pejabat Penasihat Undang-undang serta wakil Jabatan Bendahari UMS.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof Ir. Dr. Rosalam Sarbatly dan Pengarah PPP UMS, Prof Dr Jumat Sulaiman.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|