ESSCOM teruskan misi kuatkuasa undang-undang, banteras jenayah rentas sempadan

ESSCOM teruskan misi kuatkuasa undang-undang, banteras jenayah rentas sempadan

Lahad Datu: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) terus giat mengkoordinasikan misi menguatkuasakan undang-undang di samping mengekang elemen jenayah rentas sempadan membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Operasi Bersepadu (OB).

Operasi OB kali ini mensasarkan beberapa lokasi dikenal pasti sebagai penempatan PATI di sekitar Sandakan bermula pada 25 Januari dan berakhir semalam.

Pasukan keselamatan bersiap sedia menjalankan pemeriksaan menerusi Operasi Bersepadu di lokasi disyaki penempatan PATI di Sandakan

Komander ESSCOM, Datuk Hamzah Hamzah Ahmad berkata, operasi OB ini bertujuan untuk mengesan dan menangkap PATI dengan mensasarkan penempatan PATI di Sandakan yang boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat khasnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

Antara PATI yang ditahan dalam Operasi Bersepadu di Sandakan

“Hasil pemeriksaan sepanjang tempoh tujuh hari operasi OB terhadap 410 jumlah rumah/premis di 12 lokasi dengan membabitkan sejumlah 772 pemeriksaan fizikal terhadap orang, seramai 26 PATI ditahan.

Pasukan keselamatan melakukan pemeriksaan di rumah di kawasan penempatan PATI di Sandakan

“Semua PATI yang ditahan mengikur peruntukan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 sebelum diusir pulang ke negara asal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, menerusi OB juga sejumlah rampasan bernilai RM16,951 dihasilkan dengan batang kayu disyaki tangar bulat yang menyumbang kepada nilai rampasan tertinggi selain barangan terkawal yang lain.

Beberapa rampasan membabitkan wayar elektrik, batang kayu tangar dirampas dalam Operasi Bersepadu di Sandakan

“Selain itu, operasi memotong sambungan elektrik secara haram turut dijalankan sekitar lokasi berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, seramai 81 pegawai dan anggota menjayakan operasi OB ini membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pasukan keselamatan turut melakukan pemotongan elektrik yang disambung secara haram

“Turut serta, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“ESSCOM menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang terbabit terutama pegawai dan anggota keselamatan dan penguatkuasaan,” katanya.

Pasukan keselamatan menjalankan Operasi Bersepadu di beberapa lokasi sebagai penempatan PATI di Sandakan

Sementara itu, katanya selaras dengan moto iaitu Bersama-sama Menjana Kesejahteraan, ESSCOM beriltizam akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi mengekang sebarang elemen yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan kesejahteraan awam.

Justeru, katanya ESSCOM menyeru seluruh masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESSZONE ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|