UMS ambil insiatif kurangkan impak catuan air di kampusnya

UMS ambil insiatif kurangkan impak catuan air di kampusnya

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengurangkan impak catuan air yang dilakukan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) di kawasan kampus universiti itu, di sini.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, antara inisiatif itu ialah dengan menyediakan tangki tambahan di luar kolej kediaman yang lengkap dengan sistem pam dan perpaipan.

Sumber air graviti dari kawasan bukit dalam kampus UMS.

Menurutnya, UMS ketika ini juga menggunakan perkhidmatan lori tangki bagi membekalkan air terawat JANS.

“Bekalan air diperolehi dari Loji Rawatan Air (LRA) Moyog di Penampang. Penghantaran menggunakan lori tangki dibuat sehingga 20 kali sehari atau anggaran kapasiti sehingga 300,000 liter sehari.

Tangki tadahan air dari sumber bekalan air graviti di kampus UMS.

“Ia untuk kegunaan kolej kediaman pelajar dan juga bangunan sekitar kampus UMS,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, pihak UMS turut mengambil inisiatif untuk mencari sumber air alternatif dalam kampus iaitu air bukit dan telaga tiub.

Antara tangki tambahan yang diletakkan di luar kolej kediaman dalam kampus UMS.

“Pihak UMS telah membuat satu perpaipan dari punca air bukit dalam kampus yang mampu membekalkan air sebanyak 80,000 kiter sehari.

“Pihak UMS juga telah mengenal pasti punca air bukit lain dan akan membuat perpaipan baharu bagi penyaluran air bukit berkenaan untuk kegunaan pelajar.

“Manakala bagi telaga tiub, pelan jangka masa panjang, pihak UMS ke arah mendapatkan bekalan air menggunakan kaedah ini lengkap dengan sistem rawatannya sekali,” katanya.

Tegas beliau, pihaknya sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan warga kampus, khususnya dalam kalangan pelajar, termasuk ketika universiti sedang menghadapi masalah kekurangan bekalan air di kampus induk Kota Kinabalu.

Katanya, ketika ini bekalan air terawat JANS di kampusnya, di sini disalurkan dari LRA Telibong, Tuaran.

“LRA itu turut membekalkan air ke seluruh kawasan Tuaran, Tamparuli, Sepanggar, Karambunai, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Likas, Indah Permai, Kingfisher, 1Borneo dan Alamesra.

“Selain itu, ia juga membekalkan air ke Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Mini Putrajaya Kota Kinabalu dan Taman Perindustian Kota Kinabalu (KKIP).

“Dalam beberapa siri pertemuan dengan pihak JANS, UMS dimaklumkan bahawa jumlah keperluan bekalan air bagi menampung keseluruhan kawasan yang dinyatakan tadi ialah sebanyak 190 Juta Liter Sehari (MLD).

“Bagaimanapun LRA Telibong hanya mampu menghasilkan bekalan air terawat sebanyak 164 MLD,” katanya.

Secara ringkasnya, Kasim berkata, bekalan air terawat dari LRA Telibong adalah tidak mencukupi.

Bagaimanapun, katanya maklumat yang diterima daripada JANS memaklumkan isu gangguan bekalan air terawat itu dijangka selesai sepenuhnya pada 2024.

“Buat sementara waktu, pihak JANS terpaksa membuat catuan bekalan air yang menyebabkan seluruh kawasan yang menerima bekalan air terawat dari LRA Telibong terkesan.

“Kampus induk UMS yang terletak di Sepanggar juga secara langsung turut terkesan,” katanya.

Tambah beliau, kampus induk UMS memerlukan sekitar tiga hingga lima MLD untuk menampung keperluan air terawat di dalam kampus.

Justeru, katanya, tindakan itu bukan penyelesaian yang menyeluruh, namun pihak UMS komited berusaha melakukan tindakan yang perlu bagi mengurangkan impak catuan demi keselesaan warga kampus induk UMS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|