Dr Ayub dipilih Pengerusi Masjid Nurul Aman, Lahad Datu

Dr Ayub dipilih Pengerusi Masjid Nurul Aman, Lahad Datu

Lahad Datu: Mantan Pegawai Daerah Lahad Datu, Dr Mohammad Ayub Yaacob menang tanpa bertanding bagi jawatan Pengerusi Masjid Nurul Aman (MNA) bagi sesi 2023-2025.

Beliau menggantikan mantan Pengerusi MNA, Haji Yusof Nanong yang menarik diri daripada dicalonkan semula dan memberi laluan kepada Dr Ayub.

Dr Ayub Pengerusi Baharu MNA.

Seorang lagi yang turut menarik diri daripada dicalonkan ialah Haji Selamat Anong yang turut memberi laluan kepada Dr Ayub.

Keputusan sebulat suara oleh jemaah masjid dan penduduk kawasan menyokong penuh keputusan tersebut dalam Mesyuarat Agung MNA kali ketiga yang diadakan pada hari ini.

Pegawai Penyelaras Masjid Daerah (PPMD) Lahad Datu, Ustaz Sahijuan Sariul yang mewakili pihak JHEINS Daerah dijemput sebagai perasmi dan pemerhati dalam mesyuarat tersebut bersama Ketua Anak Negeri Tungku, Kamarudin Bin Hamid.

“Apa yang paling penting adalah setiap masjid di negeri Sabah ini tertakluk pada undang-undang agama negeri yang dikawal selia oleh pihak JHEAINS.

“Semua pihak kena bersikap terbuka dan matang serta kena betulkan niat setiap yang hadir ke rumah Allah (masjid) ini adalah semata ikhlas kerana Allah SWT, dan kena terima apa keputusan dan satukan hati semua demi agama ini,” katanya.

Dalam pada itu Pengerusi baharu MNA, Dr Ayub dalam ucapan pertama beliau mengucapkan terima kasih atas kepercayaan diberikan dan bertekad akan memberi khidmat yang sebaik mungkin yang beliau mampu untuk memajukan MNA bagi keselesaan semua jemaah.

“Ini tanggungjawab amat berat bagi saya, kerana saya sedar dan tahu akan ditanya nanti di akhirat, namun saya ingin mengajak semua agar bersatu hati dalam menangani sebarang permasalahan demi memastikan pembangunan dan kebaikan MNA perlu dibincang dari hati ke hati dan telus serta tepat,” katanya.

Seramai lebih 200 orang hadir dari kawasan sekitar Lahad Datu pada majlis itilu.

MNA merupakan masjid tumpuan dan antara yang paling ramai jemaah solat lima waktu dan solat Jumaat di samping kedudukannya yang agak strategik di tengah taman-taman perumahan dan berdekatan Bandar Sri Perdana.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|