UMS ambil berat keselamatan pelajar, kakitangan berikutan cuaca tidak menentu

UMS ambil berat keselamatan pelajar, kakitangan berikutan cuaca tidak menentu

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil berat soal keselamatan warganya termasuk ketika keadaan cuaca tidak menentu seperti sering berlaku ketika ini.

Berikutan itu, pengurusan universiti berkenaan mengingatkan semua warganya supaya sentiasa berwaspada dan menghindari aktiviti berisiko ketika keadaan cuaca tidak menentu.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kasim Mansur, berkata kakitangan dan pelajar perlu sentiasa peka dengan situasi semasa bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

“Pada ketika ini hujan lebat disertai ribut petir sering berlaku pada sebelah petang mengakibatkan jalan-jalan utama menjadi licin bahkan ada yang hingga menyebabkan beberapa kawasan turut dinaiki air.

“Seboleh-bolehnya elakkan terlebih dahulu aktiviti di kawasan berhampiran sungai, kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya tanah runtuh atau lain-lain tempat yang berisiko,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan agar kakitangan dan pelajar yang tinggal di luar kampus sentiasa berhati-hati ketika memandu atau menggunakan jalan raya.

“Untuk makluman, kakitangan UMS datangnya dari pelbagai daerah dan ada yang berulang alik sehinga dua jam perjalanan setiap hari.

“Malam tadi, kawasan Penampang, Inanam, Kiulu dan beberapa lokasi yang lain dilaporkan terjejas akibat banjir dan juga tanah runtuh.

“Justeru, sekiranya terdapat kakitangan yang mengalami hal-hal kecemasan, sila berhubung dengan ketua jabatan masing-masing. Pada waktu sebegini, keselamatan adalah keutamaan bersama,” katanya.

Bagi pelajar, beliau berpesan agar kesemua mereka turut sentiasa berhati-hati dan berwaspada.

“Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini, pelbagai perkara di luar jangka boleh berlaku tanpa disangka-sangka.

“Kebetulan pada masa ini juga adalah musim peperiksaan akhir semester 2022/2023. Sekiranya ada pelajar-pelajar yang dilanda musibah, sila hubungi universiti sama ada pensyarah, pengurusan fakulti, Jabatan Hal Ehwal Pelajar atau Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS.

“Pihak universiti akan sentiasa berusaha membantu kebajikan pelajar di samping memastikan tiada yang tercicir daripada mengikuti peperiksaan akibat dilanda musibah,” jelasnya.

Semalam, Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Sabah dan Sarawak sehingga Jumaat ini.

Rbut petir dan hujan lebat serta angin kencang turut dijangka berlaku di pedalaman dan barat Sabah pada sebelah petang dan malam sehingga Rabu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|