Tiada dendam dalam politik – Hajiji

Tiada dendam dalam politik – Hajiji

Kota Kinabalu: Tiada dendam dalam politik, kata Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berhubung kemelut politik Sabah yang tercetus baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak menyimpan dendam terhadap mana-mana parti atau pemimpin politik lain di negeri ini berikutan berlakunya kemelut terbabit awal bulan lalu.

Sebaliknya, beliau berkata GRS meletakkan kepentingan rakyat dan negeri Sabah sebagai keutamaan semua parti politik yang bernaung di bawah gabungan berkenaan.

“Dalam politik ini janganlah ada dendam. Paling penting kepentingan rakyat dan negeri.

“Tujuan pemimpin-pemimpin ialah supaya fokus kepada penyatuan rakyat, perpaduan selain pembangunan negeri supaya aktiviti ekonomi bertambah rancak sekali gus rakyat akan mendapat manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Seminar Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Ketua Menteri berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau sedia bekerjasama dengan parti lain dalam membangunkan Sabah menerusi Kerajaan Perpaduan Sabah.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Barisan Nasional (BN) Pusat yang menyatakan sokongan ke atas beliau selaku Ketua Menteri, Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyambut baik kenyataan berkenaan.

“Baguslah….Ini bermakna bahawa kerajaan negeri akan bertambah kukuh dalam konsep Kerajaan perpaduan yang dipelopori oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Bagaimanapun, katanya setakat ini belum ada sebarang rundingan diadakan bersama BN Sabah berikutan pemilihan Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan sebagai ketua untuk berunding mengenai kerjasama dengan kerajaan negeri.-

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|