Jumpa mayat reput tepi sungai

Jumpa mayat reput tepi sungai

Keningau: Mayat seorang lelaki yang sudah reput ditemukan terdampar di tepi Sungai Matanoi, berhampiran Kampung Ritting, di sini, malam tadi.

Mayat lelaki berusia 79 tahun itu ditemui oleh Ketua Kampung Ritting, Apin-Apin ketika membuat pemeriksaan paip graviti di kampung berkenaan.

Susulan itu, ketua kampung berkenaan menghubungi pihak polis memaklumkan mengenai penemuan mayat terbabit, kira-kira 9 malam.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, hasil maklumat dan siasatan pada 9.30 pagi tadi, seorang lelaki mendakwa mangsa itu adalah bapanya.

“Menurut lelaki itu, bapanya (mangsa) dipercayai keluar rumah sejak 7 Februari lalu namun tidak membuat laporan polis kerana beranggapan bapanya masuk hutan untuk mendapat hasil hutan dan menjala ikan.

“Sudah menjadi kebiasaan mangsa bermalam tiga hingga ke empat hari di dalam hutan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nor Rafidah berkata, hasil siasatan polis mendapati mangsa dipercayai terjatuh ketika menjala ikan di tepi sungai yang berhampiran dengan rumahnya sejauh kira-kira 50 meter.

“Mayat mangsa ditemui 100 meter dari tempat kejadian dipercayai dihanyutkan air sungai yang deras kerana ketika itu hujan lebat.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian dan tubuh mangsa tidak menemui sebarang perbuatan jenayah,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihaknya masih menjalankan siasatan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|