Sabah mulakan kajian kebolehlaksanaan kemudahan pelancaran angkasa lepas

Sabah mulakan kajian kebolehlaksanaan kemudahan pelancaran angkasa lepas

Kota Kinabalu: Sabah akan memulakan kajian kebolehlaksanaan kemudahan pelancaran angkasa lepas sebagai langkah pertama selepas penubuhan Perbadanan Industri Angkasa Lepas Sabah yang sudah dipersetujui Kabinet negeri.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif, berkata jika menjadi kenyataan, Sabah bakal menjadi lokasi ke-16 di dunia memiliki kemudahan pelancaran angkasa lepas dan meletakkan Malaysia sebagai negara kesembilan mempunyai kemudahan seumpama itu.

Beliau berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah dan kerajaan negeri bakal melakar sejarah di Malaysia dengan penubuhan agensi angkasa lepasnya sendiri selain memulakan kajian melihat kesesuaian pembinaan kemudahan pelancaran angkasa lepas.

“Kita akan menubuhkan sebuah agensi yang dikenali sebagai ’Sabah Space Industrial Corporation’ (Perbadanan Industri Angkasa Lepas Sabah). Agensi ini akan bekerjasama rapat dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi menjalankan inisiatif membangunkan sektor AeroAngkasa di Sabah.

“Cadangan ini sudah dibentangkan dan mendapat persetujuan Kabinet Negeri,” katanya pada Majlis Amanat 2023 KSTI Sabah, di sini, hari ini.

Sempena majlis itu, kementeriannya turut menyerahkan surat niat (LoI) kepada sebuah syarikat tempatan, Sovereign Sengalang Sdn Bhd yang akan memulakan kajian kebolehlaksanaan bagi melihat kesesuaian pembinaan Pusat Industri Pelancaran Angkasa Lepas Antarabangsa Sabah atau International Space Launch Industrial Centre (SLIC) di lokasi yang akan ditentukan nanti.

LoI berkenaan diserahkan Setiausaha Tetap KSTI Sabah, Datuk Zainuddin Aman kepada Timbalan Pengerusi Eksekutif Sovereign Sengalang Sdn Bhd, Ezra Effendi.

Arifin berkata, jika terlaksana, SLIC akan dapat memacu pertumbuhan antara 300 hingga 500 syarikat hiliran dalam industri AeroAngkasa selain membuka lebih 90 peluang pekerjaan bergaji tinggi dan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan secara keseluruhannya serta limpahan dan kemakmuran ekonomi di Sabah.

“Sekiranya kajian ini membawa indikasi positif, insyaAllah Sabah bakal membina ‘space launching facility’ (kemudahan pelancaran angkasa lepas) yang ke-16 di dunia dan akan meletakkan nama Malaysia menjadi negara kesembilan yang memiliki fasiliti sedemikian.

“Inisiatif ini bakal melonjakkan Sabah menjadi negeri ulung dalam konteks pemindahan ilmu dan teknologi AeroAngkasa bertahap tinggi di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kajian kebolehlaksanaan itu yang sudah dipersetujui Kabinet negeri dijangka mengambil masa setahun setengah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|