KOTA KINABALU: University College Sabah Foundation (UCSF) bertekad untuk memenangi gelaran juara pada Kejohanan Sukan Antara Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) (Sukan MASISWA) Zon Sabah 2023 yang akan bermula 29 November hingga 2 Disember depan.
Naib Canselor UCSF, Dr Rafiq Idris berkata,selaku tuan rumah Kejohanan MASISWA Zon Sabah 2023 kali ke-11, UCSF mahu menjadi juara keseluruhan kejohanan itu.
Katanya, para atlit kontinjen UCSF bersiap sedia dan akan memberikan yang terbaik serta berusaha memenangi semula kejuaraan Sukan MASISWA.
“UCSF akan bertanding dalam semua acara sukan yang bakal dipertandingkan”, katanya pada Majlis Amanat dan Penyerahan Bendera kepada ketua kontinjen UCSF bagi Sukan MASISWA 2023 di UCSF, Sembulan.
Katanya, UCSF menghantar seramai 92 atlit yang akan berentap dalam 9 acara sukan yang dipertandingkan sepanjang kejohanan itu bagi merebut sejumlah 21 pingat emas.
“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua atlit untuk Sukan MASISWA 2023 yang akan disertai oleh sebanyak 19 buah IPTS dengan venue pertandingan akan berlangsung di sekitar Kota Kinabalu”, katanya.
Sembilan jenis sukan yang dipertandingkan ialah sukan Petanque, Futsal, Bola Tampar, Badminton, Bola Jaring, E-Sport, Catur dan Aerodance.
Dalam amanatnya, Dr. Rafiq menegaskan UCSF menggalakkan pelajarnya bergiat aktif dalam bidang sukan.
Menurutnya, selain memberi tumpuan terhadap bidang akademik, sukan juga merupakan salah satu aspek yang penting bagi kesihatan pelajar.
Deasoka